SHAH ALAM, 23 OKT: Penjawat awam berdepan tindakan tatatertib termasuk kemungkinan digantung tugas susulan dakwaan penipuan pakej perkahwinan membabitkan 73 laporan polis dengan kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki berusia 31 tahun itu sudah didakwa di mahkamah pada 8 September lalu berhubung kes yang berlaku tahun lalu.
Menurutnya, meskipun polis menerima 73 laporan berkaitan kes berkenaan, pihak pendakwaan memutuskan untuk meneruskan tindakan melalui satu pertuduhan sahaja terhadap suspek.
“Selepas berbincang dengan pihak pendakwaan, diputuskan bahawa lelaki itu berdepan satu pertuduhan,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd Alwi menjelaskan laporan lain dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna untuk tindakan lanjut memandangkan majlis perkahwinan terbabit masih belum berlangsung ketika kejadian berlaku.
Beliau berkata lelaki berkenaan masih berkhidmat sebagai penjawat awam, namun proses tatatertib di peringkat jabatan sudah dimulakan dengan penggantungan tugas antara tindakan yang boleh dikenakan.
Beliau turut menafikan spekulasi bahawa suspek merupakan anggota polis, sebaliknya mengesahkan lelaki itu berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Dia bukan anggota polis. Dia bekerja dengan JPA,” tegasnya.
Kes berkenaan kembali mendapat perhatian selepas tular di Threads apabila satu hantaran mendakwa lelaki terbabit mengambil wang yang diperuntukkan beberapa pasangan bagi menguruskan majlis perkahwinan mereka.
Beberapa individu yang mendakwa menjadi mangsa turut berkongsi pengalaman termasuk seorang pengguna yang mendakwa kerugian RM23,000 tetapi hanya menerima bayaran balik RM50, manakala seorang lagi kehilangan simpanan RM12,000 yang dikumpul sedikit demi sedikit untuk majlis perkahwinannya.
Seorang lagi individu mendakwa kerugian RM20,000 dengan beban kewangan masih dirasai menjelang ulang tahun pertama perkahwinannya, sementara terdapat dakwaan ahli keluarga terpaksa menyumbang wang tambahan bagi menampung perbelanjaan majlis resepsi.







