Penjawat awam dilarang guna Waze hanya ketika bertugas secara rasmi

21 Okt 2026, 10:40 AM
Penjawat awam dilarang guna Waze hanya ketika bertugas secara rasmi

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze bagi anggota perkhidmatan awam hanya terpakai ketika menjalankan tugas rasmi.

Berdasarkan jawapan bagi soalan lazim (FAQ) berhubung surat arahan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bertarikh 20 Okt, penjawat awam bagaimanapun digalakkan menyahpasang aplikasi itu daripada peranti masing-masing dan beralih kepada aplikasi navigasi alternatif tempatan yang bersesuaian.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maklumat negara, mengambil kira potensi pengumpulan data lokasi dan pergerakan pengguna di luar waktu bekerja, bergantung pada tetapan peranti serta kebenaran akses aplikasi,” katanya.

Menurut FAQ itu, anggota perkhidmatan awam yang dimaksudkan ialah seperti ditakrifkan di bawah Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, iaitu angkatan tentera, perkhidmatan kehakiman dan perundangan, perkhidmatan awam am Persekutuan, pasukan polis, perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133, perkhidmatan awam setiap negeri serta perkhidmatan pendidikan.

Antara aplikasi navigasi alternatif tempatan yang disenaraikan ialah TuJu, platform buatan Malaysia yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), serta PINTAZ yang dibangunkan oleh pembangun aplikasi tempatan.

Keputusan melarang penggunaan Waze mengambil kira aspek keselamatan dan perlindungan data pengguna di Malaysia memandangkan aplikasi berkenaan mengumpul pelbagai maklumat termasuk data lokasi, pergerakan, perjalanan serta maklumat peranti pengguna.

FAQ itu memaklumkan aplikasi Waze dibangunkan oleh Waze Mobile Ltd, sebuah syarikat yang didaftar dan diperbadankan mengikut undang-undang Israel.

Terma penggunaan aplikasi berkenaan pula memperuntukkan pemakaian undang-undang Israel dan bidang kuasa eksklusif mahkamah di daerah Tel Aviv bagi tuntutan atau pertikaian berkaitan terma serta perkhidmatannya.

Menurut FAQ itu, polisi privasi Waze menunjukkan maklumat yang dikumpul melangkaui lokasi semata-mata, merangkumi butiran perjalanan dan laluan pengguna, data GPS dan sensor peranti yang digabungkan dengan cap masa, alamat IP serta maklumat daripada sensor atau penerima lain pada atau di sekitar peranti.

Polisi berkenaan turut menyatakan maklumat lokasi dan perjalanan boleh dikumpulkan walaupun aplikasi tidak digunakan secara aktif, bergantung pada tetapan peranti serta akaun pengguna.

FAQ itu menjelaskan bahawa data yang dikumpul secara berterusan atau berulang boleh mendedahkan corak pergerakan dan aktiviti pengguna apabila ia dihimpunkan serta dianalisis.

“Walaupun tiada bukti bahawa Aplikasi Waze menjalankan analisis sedemikian terhadap penggunanya, kemungkinan data yang dikumpulkan digunakan atau terdedah kepada analisis sedemikian tetap merupakan risiko yang perlu dipertimbangkan,” katanya.

Dalam menilai risiko penggunaan aplikasi berkenaan, FAQ itu menyatakan jenis data yang diakses, kebenaran akses yang diberikan kepada aplikasi dan lokasi serta bidang kuasa tempat ia diproses perlu diambil kira.

Penilaian itu juga perlu merangkumi dasar dan tempoh penyimpanan data, mekanisme perkongsian data dengan pihak ketiga serta kawalan keselamatan yang dilaksanakan oleh penyedia aplikasi.

Mengenai Google Maps, FAQ itu menjelaskan bahawa Google menawarkan perkhidmatannya melalui Google Ireland Limited bagi pengguna di Kawasan Ekonomi Eropah atau Switzerland manakala Google LLC, yang berpusat di Amerika Syarikat, menyediakan perkhidmatan kepada pengguna di kawasan lain.

Menurut FAQ itu, terma penggunaan Google Maps menetapkan pertikaian berkaitan terma dan perkhidmatannya ditadbir oleh undang-undang California serta diselesaikan secara eksklusif di mahkamah persekutuan atau negeri di Daerah Santa Clara, California, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pengguna boleh memfailkan pertikaian tertentu di mahkamah tempatan sekiranya undang-undang tempatan yang terpakai menghalang pertikaian berkenaan daripada diselesaikan di mahkamah California.

Terdahulu, Shamsul Azri menerusi surat bertarikh 20 Okt memaklumkan anggota perkhidmatan awam dilarang menggunakan Waze berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mengarahkan semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan memastikan keputusan itu dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan serta-merta.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan telah memutuskan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang dalam kalangan seluruh penjawat awam bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.