Para SUKMA 2026: Selangor sasar 60 emas, powerlifting buru empat

4 Sep 2026, 3:00 AM
Para SUKMA 2026: Selangor sasar 60 emas, powerlifting buru empat

SHAH ALAM, 4 SEPT: Selepas menggungguli Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Kontinjen Selangor kini menyasarkan 60 pingat emas dalam temasya Para SUKMA pada 5 hingga 14 September.

Ketua kontinjen Lim Yi Wei memberitahu pihaknya yakin berupaya mencapai sasaran tersebut manakala faktor tuan rumah dijangka memberi kelebihan untuk meraih banyak pingat.

"Kali ini, semua latihan lebih tersusun memandangkan pihak berkuasa tempatan dan pelbagai agensi memberi kerjasama baik dalam menyediakan kemudahan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Yi Wei, atlet juga menzahirkan rasa puas hati terhadap usaha pentadbiran negeri terutama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor yang memberi tumpuan kepada aspek kebajikan.

"Mereka (atlet) puas hati. Prasarana disediakan lengkap, jadi menaikkan semangat selain pembayaran elaun. Kita harap usaha ini akan bantu Selangor raih kemenangan,” katanya.

Beliau juga bercadang bertemu Majlis Tindakan Orang Kelainan Upaya (OKU) Selangor bagi mencari bakat baharu sekali gus menjadi inisiatif jangka panjang dalam pembangunan sukan.

Menurutnya, langkah berkenaan perlu berikutan negeri ketika ini kekurangan atlet para wanita.

“Ada berasa bila jadi atlet, bentuk badan mereka berubah. Sebab itu ada yang tidak mahu. Jadi, kita akan bincang dengan Majlis Tindakan OKU supaya dapat gilap bakat baharu,” katanya.

Para SUKMA mempertanding 10 jenis sukan meliputi 369 acara antaranya renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.

Cabaran bawa pulang emas

Sementara itu, kehadiran atlet senior berkongsi pengalaman menyertai kejohanan besar antara inisiatif yang diambil pasukan powerlifting bagi menyuntik semangat kontinjen Para SUKMA dalam misi meraih emas.

Jurulatihnya Mohd Nazrisaarizal Mat Saad berkata pedekatan itu juga bagi menguatkan mental atlet walaupun ada dalam kalangan mereka kurang pengalaman beraksi dalam kejohanan besar.

“Kebanyakan atlet kali ini adalah barisan pelapis. Mereka kurang pengalaman berdepan kejohanan besar, ada yang tidak yakin. Jadi kita panggil atlet senior untuk kongsikan pengalaman.

“Dengan cara ini, mereka mendapat keyakinan. Perkongsian juga bolehkan mereka dapat ilmu baharu membolehkan mereka lebih bersedia dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Meski berdepan cabaran berkenaan, Mohd Nazrisaarizal yakin anak buahnya mampu mempamer aksi terbaik dan memiliki peluang besar untuk meraih banyak pingat.

“Kelebihan sebagai tuan rumah tak kan kita sia-siakan. Edisi kali ini, kita hantar lebih ramai atlet berbanding temasya sebelum ini. Jadi potensi untuk kita menang dan bawa balik pingat lebih tinggi.

“Berdasarkan prestasi setakat ini, kita sasarkan empat emas untuk acara powerlifting. Kita ukur menerusi kejayaan sebelum ini,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.