SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri dicadangkan memperluas skop inisiatif Ambulans Kita Selangor bagi merangkumi kes kecemasan, berbanding perkhidmatan sedia ada yang memberi tumpuan kepada pengangkutan pesakit bukan kecemasan.
Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata peluasan perkhidmatan itu penting bagi memastikan rakyat mendapat bantuan segera, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan yang boleh mengancam nyawa.

“ Saya ingin mencadangkan agar Ambulans Kita Selangor meliputi kes kecemasan. Setiap saat sangat berharga dalam kes kecemasan, contohnya kes ‘Out of Hospital Cardiac Arrest’ (OHCA).
“Median masa antara panggilan 999 sehingga ambulans tiba ialah 17 minit berbanding sasaran lapan minit. Mengambil kira kekangan yang dihadapi Kementerian Kesihatan (KKM), Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kelangsungan hidup rakyat dalam kes kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Yi Wei turut mencadangkan Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi mengumpul serta menganalisis data murid yang menyertai program NutriSEL.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai status program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS), sama ada masih diteruskan atau telah ditamatkan.
“Jika program ini telah dibatalkan, saya cadangkan Kerajaan Negeri bekerjasama dengan jabatan berkaitan menilai keberkesanan NutriSEL dalam menangani isu malnutrisi kanak-kanak.
“Saya juga memohon agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan usaha intervensi bagi Program Selangor Saring. Kajian menunjukkan peningkatan penyakit tidak berjangkit termasuk strok merupakan sebahagian penting daripada modal insan negeri,” katanya.
Mula diperkenalkan November tahun lalu, Ambulans Kita Selangor kini diperluas bagi membolehkan lebih ramai penduduk yang memenuhi syarat menikmati kemudahan pengangkutan ambulans secara percuma.
Inisiatif itu turut membantu keluarga menjimatkan kos sehingga RM600, iaitu anggaran perbelanjaan yang sebelum ini perlu ditanggung sekiranya mendapatkan perkhidmatan ambulans swasta.







