SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak 11 peratus daripada keseluruhan kes kebankrapan di Malaysia dalam tempoh hampir enam tahun melibatkan penjawat awam.
Pengarah Jabatan Insolvensi Negeri Selangor, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berkata angka 11 peratus itu merangkumi penjawat awam daripada pelbagai bidang perkhidmatan, bukan terhad kepada profesion tertentu.
“Penjawat awam yang diisytiharkan bankrap berkemungkinan dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), termasuk penarikan balik pemangkuan atau penangguhan kenaikan gaji.
“Bukan dia nak lari daripada hutang, dia dah tak mampu menghadapi tekanan-tekanan, duit tak cukup, kewangan tak stabil sehingga ada yang bercerai-berai disebabkan hutang,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Berdasarkan statistik, Jabatan Insolvensi Malaysia mentadbir 289,766 kes kebankrapan pada 2021; 264,127 kes (2022) dan 233,483 kes (2023). Jumlah itu terus menurun kepada 133,884 kes (2024); 100,467 kes (2025) dan 87,659 kes setakat Ogos 2026.

Tengku Intan Suraya berkata terdapat penjawat awam yang memilih untuk memfailkan petisyen kebankrapan sendiri apabila tidak lagi mampu menguruskan hutang dan menanggung tekanan kewangan.
“Melalui langkah itu, urusan hutang mereka ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, manakala bayaran ansuran dibuat kepada jabatan berkenaan sebelum dividen diagihkan kepada pemiutang,” katanya
Beliau menjelaskan individu bankrap juga boleh diberikan kebenaran untuk bekerja dan membuka akaun bank bagi menerima gaji, sekali gus membantu mereka meneruskan kehidupan.
Sementara itu, beliau berkata seramai 46 artis dan pempengaruh di Malaysia diisytiharkan bankrap, bersamaan 0.01 peratus daripada keseluruhan individu bankrap di negara ini.
Jelasnya, antara punca kebankrapan dalam kalangan golongan itu ialah pinjaman peribadi, selain kegagalan membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sesetengah kes.
“Selain itu, usahawan tidak terkecuali risiko kebankrapan apabila perniagaan terpaksa digulungkan. Keadaan itu turut menjejaskan rakan kongsi dan pemegang saham, manakala individu yang menjadi penjamin kepada pinjaman syarikat juga berisiko diisytiharkan bankrap,” katanya.
Mengulas jumlah pelepasan status bankrap, Tengku Intan Suraya berkata seramai 123,000 individu dilepaskan pada 2023, diikuti 252,000 pada 2024, 261,000 pada 2025 dan 196,000 sehingga Ogos 2026.
“Bagi kes pendaftaran kebankrapan baharu, Malaysia merekodkan 6,554 kes pada 2021, diikuti 5,695 kes pada 2022, 4,810 kes pada 2023, 5,977 kes pada 2024 dan 6,776 kes pada 2025. Sebanyak 4,910 kes direkodkan setakat Ogos 2026,” katanya.
Pada 2021, had minimum bankrap dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000.
Nilai ambang kebankrapan bakal dinaikkan kepada RM150,000 pada tahun depan untuk membantu rakyat keluar daripada masalah kewangan. Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027.








