44 peratus kes bankrap berpunca pinjaman peribadi, 35-44 tahun paling ramai

44 peratus kes bankrap berpunca pinjaman peribadi, 35-44 tahun paling ramai
44 peratus kes bankrap berpunca pinjaman peribadi, 35-44 tahun paling ramai

SHAH ALAM, 28 OKT: Sebanyak 44 peratus kes kebankrapan di negara ini berpunca pinjaman peribadi, dengan golongan berusia 35 hingga 44 tahun paling ramai terjejas.

Pengarah Jabatan Insolvensi Negeri Selangor, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berkata pinjaman peribadi sehingga RM100,000 mudah diperoleh berdasarkan kemampuan kewangan dan slip gaji tanpa cagaran, namun boleh membebankan peminjam jika tidak diurus dengan baik.

“Seramai 2,535 golongan berusia 35 hingga 44 tahun bankrap pada 2021, seramai 2,237 pada 2022, seramai 1,980 pada 2023, seramai 2,402 pada 2024, seramai 2,654 pada 2025 dan seramai 1,915 setakat Ogos 2026.

“Golongan berusia 35 hingga 44 tahun lebih terdedah kepada bankrap kerana komitmen kewangan meningkat apabila berkeluarga, membeli rumah atau mengubah suai kediaman.

“Suami dan isteri bekerja, mereka rasa stabil dan buat pinjaman. Untuk satu atau dua tahun mungkin tiada masalah dari segi pembayaran, tetapi apabila kos sara hidup meningkat, golongan 35 hingga 44 tahun ini mula tersepit dengan pinjaman. Golongan ini kebanyakannya dalam kategori M40,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Pengarah Jabatan Insolvensi Negeri Selangor, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail semasa menjadi tetamu program Bicara Semasa: Bankrap Masih Ada Harapan Untuk Bangkit? di Studio Utama Media Selangor, Shah Alam pada 3 September 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELAGOR

Beliau berkata selain pinjaman peribadi, faktor bankrap lain ialah pinjaman perniagaan iaitu 19 peratus, pinjaman perumahan (9 peratus), sewa beli kenderaan (8 peratus), penjamin korporat (6 peratus) dan kad kredit (2.4 peratus).

Berdasarkan statistik, Jabatan Insolvensi Malaysia mentadbir 289,766 kes kebankrapan pada 2021; 264,127 kes (2022) dan 233,483 kes (2023). Jumlah itu menurun kepada 133,884 kes (2024); 100,467 kes (2025) dan 87,659 kes setakat Ogos 2026.

Pada 2021, kerajaan menaikkan nilai ambang kebankrapan daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Nilai ambang kebankrapan bakal dinaikkan kepada RM150,000 pada tahun depan untuk membantu rakyat keluar daripada masalah kewangan. Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027.

BNPL cetus perbelanjaan berlebihan

Mengulas kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), Tengku Intan Suraya berkata kaedah itu mempunyai persamaan dengan kad kredit kerana pengguna boleh membeli barangan tanpa mengeluarkan wang tunai.

Jelas beliau, promosi harga lebih murah melalui BNPL termasuk di platform beli-belah dalam talian dan siaran jualan langsung turut menarik pengguna berbelanja melebihi kemampuan.

“Ukurlah baju di badan sendiri. Jangan terlampau seronok berbelanja. Golongan muda khususnya perlu berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan promosi atau trend semasa sehingga terbeban dengan hutang,” katanya.

Pada 13 Oktober lepas, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan golongan muda berusia 30 tahun dan ke bawah mencatatkan sejumlah 65.9 juta transaksi skim BNPL bernilai RM5.4 bilion pada separuh pertama 2026, yang merangkumi 37.9 peratus daripada jumlah penggunaan BNPL di Malaysia.

Menurut MOF, jumlah transaksi BNPL di Malaysia bagi tempoh itu ialah 173.9 juta yang bernilai RM14.7 bilion dengan golongan muda menyumbang 36.7 peratus daripada nilai keseluruhan transaksi.

Setakat 30 Jun 2026, baki terkumpul pembiayaan BNPL bagi golongan muda berjumlah RM2.4 bilion, manakala pembiayaan tidak berbayar ialah RM96.8 juta atau 4.0 peratus daripada baki terkumpul.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.