Mangsa 'scam' antara empat golongan bankrap dibantu menerusi program 'fast track'

Mangsa 'scam' antara empat golongan bankrap dibantu menerusi program 'fast track'
Mangsa 'scam' antara empat golongan bankrap dibantu menerusi program 'fast track'

SHAH ALAM, 27 OKT: Dasar Peluang Kedua ‘fast track’ yang diperkenalkan pada Februari lalu menyasarkan empat golongan bankrap dilepaskan daripada status tersebut.

Golongan terbabit ialah ibu atau bapa tunggal, mangsa ‘scam’, usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peminjam perumahan terbengkalai.

Pengarah Jabatan Insolvensi Negeri Selangor, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berkata keutamaan diberikan kepada golongan tersebut untuk bangkit serta membina semula kehidupan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

“Ia ada syarat tertentu antaranya kes telah ditadbir sekurang-kurangnya lima tahun. Ibu atau bapa tunggal antara golongan yang diberi perhatian bagi membolehkan mereka kembali bekerja dan menyara keluarga. Mangsa penipuan kewangan turut diberi peluang mendapatkan pelepasan bankrap.

“Laluan itu juga menyasarkan usahawan PMKS yang terjejas akibat faktor luar atau kegagalan pihak ketiga serta pembeli rumah yang terbeban dengan projek perumahan terbengkalai,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Pengarah Jabatan Insolvensi Negeri Selangor, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELAGOR

Tengku Intan Suraya turut menasihatkan mereka yang dilepaskan daripada status bankrap supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan untuk membina hidup baharu yang lebih baik.

“Mulai tahun depan juga, beberapa kategori individu turut dipertimbangkan bagi pelepasan termasuk orang kurang upaya (OKU), pesakit penyakit kritikal, pekerja gig dan individu tanpa pendapatan tetap.

“Semua langkah ini bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada mereka dan bangkit untuk membina semula kehidupan,” katanya.

Jumlah individu mendapat pelepasan bankrap meningkat

Mengulas jumlah pelepasan bankrap, Tengku Intan Suraya berkata seramai 123,000 individu dilepaskan daripada masalah tersebut pada 2023; 252,000 pada 2024; 261,000 pada 2025 dan 196,000 sehingga Ogos 2026.

“Individu bankrap tidak seharusnya takut berurusan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia. Pihak kami berperanan mentadbir kes kebankrapan serta membantu mereka menguruskan kewangan mengikut ketetapan yang berkuat kuasa.

“Terdapat individu yang kekal bankrap selama berbelas tahun kerana tidak hadir ke Jabatan Insolvensi Malaysia untuk menguruskan kes serta gagal membuat bayaran ansuran bulanan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata had minimum hutang untuk membolehkan seseorang diisytiharkan bankrap bakal dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai 2027.

“Sebelum ini, had tersebut dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 pada September 2021. Kenaikan seterusnya telah diumumkan menerusi Belanjawan 2027 pada 5 Oktober lalu. Peningkatan had minimum itu diharap dapat mengurangkan jumlah individu yang diisytiharkan bankrap.

“Justeru, kita menasihatkan orang ramai yang berdepan masalah hutang supaya menyusun semula kewangan, berbincang dengan pihak bank dan mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Pada 9 Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 berkata kerajaan memutuskan untuk menaikkan ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai 2027 sebagai sebahagian usaha membantu rakyat keluar daripada masalah kewangan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.