SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan disaran mengambil tindakan lebih tegas dan berhati-hati dalam mengawal proses kelulusan pinjaman oleh institusi kewangan, khususnya melibatkan penjawat awam.
Pempengaruh kewangan, Azraei Muhamad berkata kebimbangan terhadap peningkatan kadar hutang dalam kalangan penjawat awam memerlukan tindakan segera dan menyeluruh.
Beliau yang dikenali sebagai ‘Financial Gory’ berkata kelonggaran dalam proses kelulusan pinjaman dipercayai menjadi punca utama ramai penjawat awam terjebak dalam bebanan hutang yang serius.
“Penjawat awam sangat mudah mendapatkan pinjaman. Kebanyakan institusi kewangan meluluskan permohonan mereka kerana mereka mempunyai pekerjaan tetap dan jaminan pencen.
“Lebih membimbangkan apabila ada yang sanggup berhutang dengan institusi kewangan tidak berlesen seperti Ah Long.
"Ini jelas menunjukkan keperluan kepada kawalan yang lebih ketat, bukan sahaja oleh Bank Negara Malaysia, malah oleh kerajaan sendiri terhadap mekanisme kelulusan pinjaman,” katanya kepada Media Selangor.

Azraei menambah, penguatkuasaan terhadap institusi tidak berlesen juga agak mencabar, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai individu membuat pinjaman melalui saluran yang berisiko tinggi.
Katanya, situasi ini, jika tidak dikawal, boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan perkhidmatan awam negara.
“Penjawat awam yang dibebani hutang berisiko untuk terjerumus dalam gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa semata-mata untuk melunaskan komitmen kewangan mereka.
“Sebab itu saya mencadangkan agar pakar kewangan dan pempengaruh menggunakan platform media sosial untuk menjalankan program kesedaran berhubung celik kewangan," katanya.
Tambahnya, kesedaran perlu diperkukuh dengan pemahaman mendalam tentang pengurusan kewangan, termasuk kaedah berbelanja, menyimpan dan melabur secara bijak.

Pada 18 September, pengarah insolvensi negeri berkata seramai 628 penjawat awam termasuk kakitangan Persekutuan yang berkhidmat di Selangor diisytihar bankrap sejak 2020 hingga kini.
Menurut K Pavani, berdasarkan kajian, pinjaman peribadi dikenal pasti sebagai faktor utama, diikuti pinjaman perumahan dan kenderaan.