ad

Pengurusan kewangan lemah punca ramai penjawat awam muflis

21 Sep 2025, 12:00 PM
Pengurusan kewangan lemah punca ramai penjawat awam muflis

SHAH ALAM, 21 SEPT: Pengurusan kewangan yang lemah dan gaya hidup mewah antara punca ramai penjawat awam diisytihar muflis, kata pempengaruh kewangan.

Azraei Muhamad atau lebih dikenali 'Financial Gory' berkata pengurusan kewangan yang betul dan tersusun mampu menangani kenaikan kos sara hidup.

"Kita melihat dalam kerangka penjawat awam, mereka kerja stabil bergaji tetap tetapi diisytihar muflis. Antara punca utama adalah pengurusan kewangan yang lemah.

"Kalau kata kos sara hidup meningkat, ia bukan merupakan punca utama sebab sebagai contoh kita lihat kerangka luar penjawat awam, ramai sahaja orang di luar sana yang tiada gaji tetap masih boleh teruskan hidup dan tidak muflis," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Jelas Azraei, simptom 'fear of missing out' (FOMO) dan terikut-ikut rakan sekerja juga mendorong ramai penjawat awam sanggup berhutang demi kepuasan hidup mereka.

Menurutnya, faktor tersebut turut memberi impak terhadap kualiti kehidupan penjawat awam kerana bekerja untuk dapatkan gaji tidak menyelesaikan masalah dihadapi.

"Produktiviti jadi bertambah buruk apabila selepas kerja mereka mencari ruang lingkup lain untuk menambah pendapatan seperti kerja lebih masa, buat kerja tambahan atau melabur sebab nak fokus bayar hutang.

"Kalau kita melihat kepada statistik dikongsikan Jabatan Insolvensi juga melaporkan bahawa hutang peribadi jatuh tangga pertama paling tinggi diikuti hutang rumah dan hutang kereta.

"Nilai ambang seseorang diisyitihar muflis adalah RM100,000. Oleh itu, untuk rumah dan kereta mungkin logik nilai begitu tetapi hutang peribadi setinggi itu saya fikir ia lebih kepada gaya hidup," katanya.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Pasar Raya Ehsan Mart Sungai Tua Dataran Selayang, Gombak pada 6 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MDIA SELANGOR

Pada 18 September, pengarah insolvensi negeri berkata seramai 628 penjawat awam termasuk kakitangan Persekutuan yang berkhidmat di Selangor diisytihar bankrap sejak 2020 hingga kini.

Menurut K Pavani, berdasarkan kajian, pinjaman peribadi dikenal pasti sebagai faktor utama, diikuti pinjaman perumahan dan kenderaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.