Jemputan ke istana jadi kenangan istimewa rakyat pelbagai kaum

21 Okt 2026, 1:09 PM
Jemputan ke istana jadi kenangan istimewa rakyat pelbagai kaum
Jemputan ke istana jadi kenangan istimewa rakyat pelbagai kaum
Jemputan ke istana jadi kenangan istimewa rakyat pelbagai kaum
Jemputan ke istana jadi kenangan istimewa rakyat pelbagai kaum

KLANG, 21 OKT: Lebih 3,000 rakyat Selangor daripada pelbagai latar belakang dan kaum menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat Siri Kedua sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Peluang menghadiri majlis itu memberi pengalaman berharga kepada tetamu terpilih, malah menjadi kenangan istimewa apabila dapat menjejakkan kaki ke istana sempena sambutan 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor.

Yaacob Ismail, 63 dari Taman Rakan Cheras, Sungai Long. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Yaacob Ismail, 63, dari Taman Rakan Cheras, Sungai Long, menyifatkan jemputan itu sebagai peluang yang tidak akan dilupakan kerana pertama kali berpeluang mengunjungi istana.

“Saya berasa seronok kerana ini kali pertama saya dapat jemputan ke istana. Saya terlalu seronok dan bangga. Saya dapat jemputan ini dua minggu lepas.

“Kami 12 orang datang bersama dan bergerak menaiki bas pada jam 10.30 pagi. Rasa teruja dapat masuk ke istana, memang seronok,” katanya kepada Media Selangor.

Raju Toplan, 56, dari Kampung Teluk Piai, Kuala Selangor. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Raju Toplan, 56, dari Kampung Teluk Piai, Kuala Selangor melahirkan rasa syukur dan bangga apabila terpilih menjadi tetamu diraja pada majlis itu.

“Gembira kerana bukan semua orang dapat. Apabila dapat peluang ini, saya rasa bangga. Saya doakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terus dipanjangkan umur dan saya rasa bangga menjadi rakyat Selangor,” katanya.

Chan Tain Por, 49 dari Taman Desa Bukit Indah, Sungai Buloh. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Bagi Chan Tain Por, 49, dari Taman Desa Bukit Indah, Sungai Buloh, jemputan itu cukup bermakna kerana sambutan Jubli Perak menandakan 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor.

“Ulang tahun Jubli Perak 25 tahun ini cuma sekali sahaja. Terlalu gembira dan seronok sebab terpilih dapat masuk istana dan jumpa Tuanku Sultan Selangor.

“Saya doakan semoga Baginda Tuanku panjang umur dan terus memerintah negeri ini dengan adil dan saksama,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis itu, diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat Siri Kedua itu merupakan siri ketiga daripada lima siri yang diatur sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.