Warga pentadbiran daerah Selangor ikrar taat setia, tekad perkukuh mutu perkhidmatan

21 Okt 2026, 11:45 AM

KLANG, 21 OKT: Warga pentadbiran semua daerah di Selangor berazam untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan supaya lebih cekap, telus, responsif dan berintegriti demi kepentingan rakyat serta kemajuan negeri.

Pegawai Daerah Klang Mohd Hasry Nor Mohd berkata titah dan pandangan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, khususnya berkaitan tadbir urus dan integriti sentiasa menjadi pedoman penting dalam melaksanakan amanah.

“Amanah ialah kepercayaan-kepercayaan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan kepercayaan rakyat yang perlu dipelihara dengan penuh keinsafan.

“Tanggungjawab yang lebih besar adalah untuk memastikan setiap dasar, perancangan dan pelaksanaan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat serta meningkatkan kesejahteraan hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat Siri Kedua sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hasry turut menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Sharafuddin untuk terus menjunjung tinggi institusi diraja, memelihara kedaulatannya serta mengekalkan keharmonian masyarakat di daerah masing-masing.

Beliau berkata ikrar taat setia itu turut merangkumi komitmen untuk melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan dan mencurahkan segala ikhtiar bagi memastikan Selangor terus maju, sejahtera, selamat, berdaya saing dan dihormati.

“Sesungguhnya, patik percaya bahawa pegangan ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ serta ‘Raja berdaulat, memayungi umat’ akan terus menjadi asas yang memperkukuh hubungan antara institusi diraja dengan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat Siri Kedua diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat Siri Kedua itu merupakan siri ketiga daripada lima siri yang disusun sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.