Dari kampung ke istana, Jamuan Teh Diraja jadi kenangan bermakna

19 Okt 2026, 2:00 PM
Dari kampung ke istana, Jamuan Teh Diraja jadi kenangan bermakna
Dari kampung ke istana, Jamuan Teh Diraja jadi kenangan bermakna
Dari kampung ke istana, Jamuan Teh Diraja jadi kenangan bermakna
Dari kampung ke istana, Jamuan Teh Diraja jadi kenangan bermakna
Dari kampung ke istana, Jamuan Teh Diraja jadi kenangan bermakna

KLANG, 19 OKT: Dari Sabak Bernam hingga ke Klang, lebih 3,000 rakyat Selangor membawa pulang kenangan istimewa apabila berpeluang menjadi tetamu diraja di Istana Alam Shah sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor.

Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat yang berlangsung semalam turut memberi peluang kepada mereka yang pertama kali mengunjungi istana untuk merasai sendiri suasana sambutan bersejarah itu.

Bagi Alice Teoh, 46, dari Sabak Bernam, kunjungan itu lebih bermakna apabila dapat berkongsi pengalaman bersama anaknya meskipun keadaan jerebu melanda negeri ini.

Alice Teoh, antara tetamu yang menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat di Istana Alam Shah, Klang pada 18 Oktober 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Beliau yang menerima jemputan menerusi penghulu kampung menganggap peluang tersebut sebagai kenangan berharga buat mereka sekeluarga.

Keterujaan sama dikongsi K Thilaga, 43, yang hadir bersama sekumpulan penduduk dari Sabak Bernam dan menzahirkan penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj atas peluang diberikan kepada rakyat.

“Seramai 20 penduduk dari Sabak Bernam hadir bersama. Kami sangat gembira kerana mendapat peluang seperti ini.

“Jerebu bukan penghalang untuk kami datang kerana peluang sebegini bukan selalu ada, sayang kalau ia dilepaskan begitu sahaja,” katanya kepada Media Selangor.

K Thilaga teruja menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat di Istana Alam Shah, Klang pada 18 Oktober 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Johan Setia, Mohd Sahnizan Mohd Ayub, 51, turut teruja apabila berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Alam Shah buat pertama kali.

Namun, di sebalik kegembiraan itu, beliau membawa harapan untuk mendapatkan bantuan jentera bagi pasukannya yang sering berdepan kekurangan kelengkapan ketika membantu operasi memadam kebakaran.

“Kami antara pasukan yang membantu memadamkan kebakaran dan rata-rata daripada kami hanya menggunakan jentera sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, hasrat tersebut belum dapat disampaikan kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah kerana beliau tidak berpeluang bertemu baginda pada majlis berkenaan.

Anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Johan Setia, Mohd Sahnizan Mohd Ayub. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Majlis siri pertama yang berlangsung di Padang Mahkota, Istana Alam Shah itu menghimpunkan lebih 3,000 rakyat dari Klang, Petaling, Sabak Bernam dan Hulu Selangor sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin.

Turut berkenan berangkat ialah Sultan Sharafuddin bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Tengku Amir Shah yang diiringi isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

Sambutan akan diteruskan dengan empat lagi siri Jamuan Teh Diraja pada 20, 21, 22 dan 24 Oktober ini di Istana Alam Shah, Klang.

Siri berkenaan membabitkan kerabat diraja, rakyat, anak yatim, golongan spastik, pesara, penjawat awam serta pelabur.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.