652 penjawat awam terima RM1.18 juta ganjaran lapor rasuah

23 Sep 2026, 12:40 AM
652 penjawat awam terima RM1.18 juta ganjaran lapor rasuah
652 penjawat awam terima RM1.18 juta ganjaran lapor rasuah
652 penjawat awam terima RM1.18 juta ganjaran lapor rasuah

SHAH ALAM, 23 SEPT: Sebanyak RM1.18 juta ganjaran diberikan kepada 652 penjawat awam yang melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang 2012 hingga 2025.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman berkata daripada jumlah itu, 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 lagi menerima sijil penghargaan.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam, tetapi juga menjadi dorongan dan contoh kepada penjawat awam lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 Bil. 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, semalam.

Sepanjang tempoh berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan penerima pengiktirafan tertinggi dengan 437 orang, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) 64 orang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 33 orang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 21 orang.

Bagi penilaian 2026, sebanyak 54 pencalonan diterima daripada empat agensi penguatkuasaan, membabitkan PDRM seramai 38 calon, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) 12, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiga dan JIM seorang.

Penilaian itu melibatkan 30 kertas siasatan dengan nilai rasuah yang cuba disogokkan berjumlah RM304,621.

Antara kes diketengahkan ialah tindakan seorang pegawai PDRM di Perlis menolak tawaran rasuah RM200,000 berkaitan kes rampasan 1.8 tan syabu, selain kes penolakan suapan RM45,000 di Johor.

Semua calon terbabit melepasi tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah PDRM.

Abd Halim berkata penjawat awam yang dicalonkan perlu membuat aduan rasmi mengenai pemberian atau penerimaan rasuah serta memberi kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga perbicaraan kes di mahkamah selesai.

Beliau turut mahu inisiatif ganjaran itu diperluas kepada seluruh sektor perkhidmatan awam, khususnya pegawai di bahagian perolehan, supaya lebih ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan rasuah.

“Keberanian penjawat awam untuk tampil melaporkan cubaan rasuah amat penting dalam membantu usaha membendung kegiatan rasuah dan memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Program pengiktirafan itu merupakan kesinambungan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan pada 19 Ogos 2010 serta surat pekeliling garis panduan dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.