SHAH ALAM, 21 SEPT: Seramai 55,169 penjawat awam yang menjalani saringan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dikenal pasti berisiko tinggi dalam isu kesihatan mental, termasuk kecenderungan membunuh diri.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail berkata dapatan itu menunjukkan keperluan memperkukuh kesejahteraan psikologi dalam kalangan penjawat awam secara menyeluruh, lapor Berita Harian.
Beliau berkata kesejahteraan psikologi turut menjadi antara faktor penting yang mempengaruhi kesejahteraan organisasi dan seterusnya memberi kesan terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Justeru, usaha memperkukuh kesejahteraan psikologi secara holistik perlu dilihat sebagai pelaburan strategik bagi memastikan perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara kekal cekap, responsif dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam 2026 (PSYCON 2026) bertemakan ‘Psikologi Memperkasa Insan, Mencorak Masa Hadapan’ di Institut Tadbiran Awam, Bukit Kiara, hari ini.
Menurutnya, Dapatan Kajian Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia 2025 turut menunjukkan kepentingan kesejahteraan psikologi dalam memastikan persekitaran kerja yang lebih sihat dan produktif.
Pada Julai lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata kerajaan mempergiat langkah intervensi awal bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.
Langkah itu susulan kajian MyPsyD yang mengenal pasti lebih 40,000 penjawat awam mempunyai kecenderungan terhadap tingkah laku negatif, termasuk cubaan membunuh diri.
Susulan itu, ketua jabatan dimaklumkan supaya bekerjasama dengan pegawai psikologi untuk melaksanakan intervensi awal terhadap individu yang dikenal pasti berisiko.
Mohd Bakhari berkata PSYCON 2026 menghimpunkan lebih 500 peserta mewakili kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi memperkukuh keupayaan profesion psikologi dalam mendepani perubahan persekitaran kerja serta cabaran psikososial yang semakin kompleks.
Katanya, landskap pentadbiran moden yang dinamik bukan sahaja memerlukan profesionalisme, dedikasi dan integriti tinggi, malah keupayaan mengurus tekanan kerja dengan berkesan.
“Ketua jabatan bertanggungjawab menyediakan sistem sokongan sewajarnya bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan pekerja yang menjadi aset penting negara,” katanya.
Beliau berkata kerajaan sebagai majikan turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan psikososial, termasuk dari aspek kewangan dan latihan, selain penambahbaikan skim perkhidmatan, gaji, elaun serta kemudahan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Bagi memastikan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan, katanya, kerajaan turut memperkenalkan pendekatan kerja lebih fleksibel menerusi Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang dilaksanakan mulai 1 Ogos lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Bakhari berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membangunkan Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam, selain bakal memperkenalkan Indeks Kebahagiaan Penjawat Awam bagi mengukur tahap kesejahteraan psikologi secara lebih komprehensif.
Katanya, JPA turut mengkaji hala tuju dan pemerkasaan Skim Perkhidmatan Psikologi serta memperkukuh kompetensi dan profesionalisme Pegawai Psikologi menerusi kursus berimpak tinggi bertaraf sijil profesional setiap tahun, dengan sasaran supaya pegawai psikologi secara berperingkat memiliki kelayakan sekurang-kurangnya di peringkat sarjana.







