Qadiani bukan ajaran Islam, Kerajaan Negeri terus pantau kegiatan - MB

21 Okt 2026, 2:37 AM
Qadiani bukan ajaran Islam, Kerajaan Negeri terus pantau kegiatan - MB

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan Negeri akan terus memantau kegiatan penyebaran ajaran Ahmadiah atau Qadiani yang telah diisytiharkan terkeluar daripada Islam, khususnya di masjid dan surau sekitar Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan berkaitan, namun penguatkuasaan undang-undang syariah terhadap pengikut ajaran berkenaan tertakluk kepada batasan tertentu.

“Sebahagian besar penganut adalah warga asing tetapi ada juga warga tempatan. Ajaran itu telah diisytiharkan keluar daripada Islam.

“Jadi, tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) boleh diambil mengikut peruntukan berkaitan, namun mereka tidak boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang syariah atas alasan mengamalkan ajaran Islam,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program kerjasama antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Universiti Selangor (Unisel) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) , semalam.

Menurutnya, kegiatan itu bukan perkara baharu, malah beberapa serbuan pernah dijalankan sebelum ini.

Beliau berkata pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa, khususnya di masjid dan surau, dengan kerjasama penduduk setempat.

Sebelum ini, seramai 184 individu diperiksa dalam operasi bersepadu di Kampung Nakhoda dan Taman Laksamana, Batu Caves, dengan enam lelaki warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.

Ketua Polis Selangor Datuk Pahlawan Shazeli Kahar berkata operasi yang dijalankan menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu membabitkan 207 anggota daripada enam agensi penguat kuasa.

Enam lelaki terbabit ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Operasi berkenaan turut melibatkan tindakan terhadap kesalahan berkaitan penerbitan, pelesenan perniagaan, pembinaan tanpa kebenaran serta ketidakpatuhan aspek keselamatan kebakaran.

Bagaimanapun, polis menjelaskan operasi itu tidak melibatkan JAIS seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.