Pemimpin ajaran Millah Abraham didakwa hina hadis, hurai agama bertentang syarak

25 Nov 2026, 8:47 AM
Pemimpin ajaran Millah Abraham didakwa hina hadis, hurai agama bertentang syarak

MANJUNG, 25 NOV: Seorang nelayan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas dua pertuduhan menghina hadis dan menghuraikan agama bertentangan dengan hukum syarak, kira-kira dua tahun lepas.

Tertuduh, Mazlan Abd Shukor, 69, yang dikatakan berperanan sebagai pemimpin dan pengajar ajaran Millah Abraham di daerah Manjung, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ridzuan Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, Mazlan didakwa menghina hadis dengan mengeluarkan perkataan “Kalau kita pakai hadith itu kata orang. Kata orang tak semestinya betul” di sebuah rumah di Pantai Remis, antara 11 pagi dengan 12 tengah hari pada 26 April 2024.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mazlan didakwa menghuraikan agama bertentangan dengan hukum syarak kepada dua anaknya, Maisarah, 23, dan Maryam Sakinah, 20, dengan menyebut “Quran dia memang kena baca dalam bahasa kita bukannya dibaca dalam bahasa itu” di tempat yang sama, pada tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 9 enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwa Syarie Amir Sabri Zulkipli memohon mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan atas alasan kesalahan yang membabitkan akidah itu serius.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan masih menanggung dua anak yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Mohd Ridzuan kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 13 Jan depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.