GOMBAK, 17 OKT: Seramai 184 individu diperiksa dalam operasi bersepadu di Kampung Nahkoda dan Taman Laksamana, Batu Caves, semalam, dengan enam lelaki warga asing ditahan kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen.
Ketua Polis Selangor, Datuk Pahlawan Shazeli Kahar berkata, operasi menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu membabitkan 207 anggota daripada enam agensi penguat kuasa.
“Operasi ini bertujuan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan tempatan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Enam lelaki warga asing itu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Operasi berkenaan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Operasi itu bagaimanapun tidak melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seperti dakwaan tular di media sosial.
KDN mengambil tindakan berkaitan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986, manakala ROS merampas dokumen dan bahan berkaitan untuk semakan lanjut.
MPS pula mengambil tindakan terhadap kesalahan pelesenan perniagaan dan pembinaan tanpa kebenaran, termasuk mengeluarkan notis serta melakukan sitaan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
Pemeriksaan JBPM turut mengenal pasti ketidakpatuhan aspek keselamatan kebakaran, termasuk kekurangan alat pemadam api dan kemudahan pelepasan kecemasan bangunan.
“Tindakan lanjut diambil oleh agensi berkenaan mengikut bidang kuasa masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Shazeli berkata, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Polis Kontinjen Selangor akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi demi memelihara keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.








