Ada manusia kehilangan harta apabila memilih untuk meninggalkan sesuatu yang pernah menjadi sebahagian besar kehidupannya. Ada pula terpaksa bermula semula tanpa apa-apa selepas bertahun-tahun menyerahkan seluruh kepercayaan kepada sebuah organisasi.
Bagi seorang lelaki, keputusannya meninggalkan kumpulan yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bukan sekadar menamatkan pengabdian selama 25 tahun.
Adam (bukan nama sebenar) kehilangan simpanan, tempat bergantung, malah terpaksa melalui empat tahun penuh derita selepas dipisahkan daripada isteri dan anak-anak.
Trauma itu masih membekas hingga hari ini. Namun di sebalik pengalaman pahit tersebut, beliau akhirnya menemui semula sesuatu yang lama terikat — kebebasan menentukan jalan hidup sendiri.
Mengimbau kembali detik pada 2009, lelaki berusia awal 50-an itu berkata kesetiaannya mula goyah selepas berlaku pertembungan berhubung pengurusan pendidikan dalam organisasi yang ketika itu dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).
Ketika menguruskan sebuah sekolah, beliau mengambil tenaga pengajar dan penasihat dari luar bagi meningkatkan mutu pendidikan. Tindakannya tidak disenangi sehingga beliau diarah berpindah.
“Saya ambil tenaga pengajar dan penasihat dari luar tapi mereka tidak senang dengan perkara itu. Saya dilihat melanggar disiplin dan diarah berpindah. Tetapi saya berpegang pada prinsip saya dan melawan,” katanya kepada Media Selangor.
Keputusan tersebut bagaimanapun membawa ujian jauh lebih berat. Adam mendakwa isteri dan anak-anaknya dibawa ke luar negara selepas mereka didoktrin sehingga enggan mengikutinya meninggalkan kumpulan berkenaan.
Daripada seorang suami dan bapa yang mahu menentukan kehidupannya sendiri, beliau tiba-tiba terpaksa berjuang untuk membawa pulang keluarganya.
Beliau membuat laporan polis, bertemu pemimpin tertinggi negara dan membawa kisahnya kepada media. Segala ruang yang ada digunakan dengan satu harapan — isteri dan anak-anak kembali ke pangkuannya. Penantian itu mengambil masa empat tahun.
“Bagaimanapun akhirnya GISB memulangkan semula isteri dan anak-anak saya pada 2013 selepas empat tahun melalui pelbagai onak dan duri. GISB sendiri yang minta berdamai melalui surat yang ditandatangani Ummu Jah,” katanya.

Bermula dari kosong
Kembalinya kepada keluarga bukan bermakna segala kesukaran berakhir. Selepas sekian lama berada dalam organisasi tersebut, Adam mendapati dirinya perlu membina semula kehidupan hampir dari kosong.
Lelaki itu mengakui tidak ada simpanan kewangan kerana kehidupan sebelumnya terikat dengan konsep pengorbanan dan kesetiaan terhadap organisasi.
Dalam keadaan itu, keluarga menjadi tempat berpaut. Ibunya antara individu yang banyak membantu ketika beliau berusaha berdiri semula.
“Ibu banyak bantu saya dari sudut kewangan. Saya ‘zero’ (sifar), tiada simpanan langsung. Dengan bantuan keluarga, saya dapat membiayai kos operasi sekolah yang saya usahakan,” katanya.
Adam juga memilih untuk tidak mengasingkan diri. Beliau kembali bergaul dengan masyarakat dan menyertai pelbagai kegiatan bagi membina kenalan serta mendapatkan sokongan.
“Saya juga bergaul dengan masyarakat. Apa sahaja aktiviti yang dianjurkan, saya akan sertai supaya dapat kenalan baharu dan sokongan. Saya juga bersyukur kerana terlibat dalam sistem pendidikan sejak awal,” katanya.
Penerimaan masyarakat sedikit demi sedikit membantunya membuka lembaran baharu. Tiada penghakiman terhadap masa lalu, sebaliknya beliau diberikan ruang untuk kembali menjalani kehidupan seperti orang lain.
Lebih sedekad selepas Adam meninggalkan kumpulan itu, pihak berkuasa melancarkan Op Global pada September 2024 membabitkan serbuan terhadap ratusan premis, rumah amal dan perniagaan berkaitan GISBH di seluruh negara.
Bagi Adam, tindakan besar-besaran tersebut tidak semestinya menjadi noktah kepada fahaman yang pernah membelenggu kehidupannya.
Beliau bimbang bekas pengikut boleh kembali berkumpul dan membentuk gerakan baharu sekiranya tiada pemantauan berterusan terhadap pemimpin utama serta anggota kumpulan.
“Mereka boleh sahaja tubuhkan kumpulan baharu selagi ada individu yang mahu ia kembali. Kalau ada yang menyuburkan kembali fikrah mereka, keberangkalian itu tetap ada. Perlu ada pemantauan,” katanya.
Adam turut menasihatkan golongan muda khususnya, untuk menghargai nikmat keamanan dan kebebasan selain menguatkan pegangan serta prinsip kehidupan tanpa mudah terpengaruh dengan anasir negatif.
Beliau turut mentakrifkan kemerdekaan sebagai nikmat kebebasan yang perlu disyukuri, bukan sahaja daripada penjajahan secara fizikal, tetapi merangkumi kebebasan pemikiran, mental dan jiwa.
“Kepada golongan muda, pastikan mereka ada pegangan kukuh dalam ajaran Islam. Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah yang ekstrim. Tanamkan dalam jiwa, perkara zuhud dan ilmu Islam yang sebenar,” katanya.








