SHAH ALAM, 23 JUN: Fahaman ajaran sesat di Selangor berada pada tahap terkawal dan tidak membimbangkan susulan pemantauan berterusan pihak berkuasa termasuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan polis.
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata kira-kira 10 ajaran yang difatwa sesat kini berada dalam radar pemerhatian bagi memastikan ia tidak dihidupkan semula oleh pihak tertentu.
Menurut beliau, kebanyakan kumpulan terbabit tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai seperti GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), sebaliknya bergerak dalam kelompok kecil.
“Ajaran ini tidak miliki pengikut ramai seperti GISB Holdings (GISBH). Semua kumpulan kecil. Contohnya ajaran Qadiani. Ada cubaan hidupkan semula dari rumah kedai.

“Tapi kita dah turun sita dan beri amaran. Sekarang dah hilang. Setakat ini ajaran sesat tidak membimbangkan kerana kita ada asas undang-undang yang kuat. Bila dah keluar fatwa, maka tindakan perundangan boleh diambil,” katanya pada sidang media.
Mei lalu Ketua Bahagian Fatwa Mufti Selangor Mohamad Shukry Sulaiman berkata tujuh ajaran diwarta sebagai menyeleweng antara 2021 hingga 2026 selepas melalui proses penyelidikan, temu bual dan siasatan pelbagai pihak bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menurutnya kertas kajian dibuat selepas benar-benar yakin dan faham dengan pandangan mereka, perbandingan dibuat dengan elemen dalam Ahli Sunnah Waljamaah.
Ajaran berkenaan ialah ajaran Asmaul Husna (2022), Ibu Yati (2022), Makrifat (2024), GISBH (2024), Si Hulk (2025), Risalah Bab Kesucian (2025) dan Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (2026).









