Lebih 1,200 kerabat Diraja Selangor zahir taat setia kepada Sultan

20 Okt 2026, 1:00 PM
Lebih 1,200 kerabat Diraja Selangor zahir taat setia kepada Sultan
Lebih 1,200 kerabat Diraja Selangor zahir taat setia kepada Sultan
Lebih 1,200 kerabat Diraja Selangor zahir taat setia kepada Sultan

KLANG, 20 OKT: Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor menjadi wadah menzahirkan ikrar taat setia serta penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Engku Setia Lela Bestari, Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj berkata majlis seumpama itu yang kali terakhir diadakan 12 tahun lalu turut memberi peluang kepada kerabat Diraja Selangor untuk beramah mesra bersama Sultan Selangor.

“Lebih 1,200 kerabat Diraja Selangor dari Kedah, Perak, Pahang dan Brunei hadir sekali gus menzahirkan ikrar taat setia serta penghargaan kepada Sultan Selangor sebagai tonggak perpaduan rakyat.

“Peliharalah martabat keperibadian dan sematkanlah Kesultanan Selangor dalam sanubari,” katanya dalam sembah ucapan pada majlis berkenaan sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Engku Setia Lela Bestari Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj berucap mewakili Kerabat Diraja Selangor dalam Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 20 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Raja Arshad turut mengimbau kenangan Masjid Istana Diraja yang mempunyai nilai sentimental kepada kerabat Selangor kerana menjadi lokasi penghormatan terakhir bonda kesayangan Sultan Selangor.

Beliau berkata, masjid berkenaan turut menjadi lokasi akad nikah Sultan Selangor bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

“Pembinaan Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah siap pada Mei 2011, tepat pada masanya untuk urusan jenazah bonda yang disayangi, Almarhumah Raja Saidatul Ihsan binti Tengku Badar Shah.

“Sejak masjid berkenaan siap dibina hingga kini, kira-kira 200 ahli kerabat Diraja Selangor selamat diijabkabulkan di situ manakala 60 ahli kerabat turut melaksanakan urusan kemangkatan di lokasi sama,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Arshad mendoakan agar setiap bahtera perkahwinan kerabat Diraja Selangor sentiasa dirahmati dan diberkati selain menjadi lambang keutuhan, kesetiaan serta inspirasi kepada kerabat Diraja lain.

Antara yang hadir Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 20 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini atas kelahiran puteri sulung, Tengku Alia Amira pada 21 Julai lalu serta mendoakan Baginda sentiasa sihat, dilindungi Allah SWT dan menjadi penyejuk mata ayahanda bonda.

Majlis berkenaan merupakan antara pengisian Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang turut menghimpunkan kerabat bagi mengeratkan silaturahim dan menzahirkan taat setia.

Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat Siri Kedua akan berlangsung esok pada jam 3 petang di lokasi sama manakala pada 22 Oktober, Sultan Selangor dijadual berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Anak Yatim dan Spastik.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.