SHAH ALAM, 19 OKT: Hubungan erat antara Raja dan rakyat serta peranan institusi diraja menjadi asas kepada kestabilan dan kemakmuran Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri menghargai kepimpinan dan keprihatinan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, terhadap rakyat sepanjang 25 tahun pemerintahan Baginda.
“Sambutan Jubli Perak atau ‘Silver Jubilee’ bukan sesuatu yang dapat dinikmati oleh semua pihak. Ia hanya dapat diraikan dengan kurniaan Allah SWT yang melimpahi Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor dengan keafiatan serta kesejahteraan sepanjang tempoh ini.
“Jubli Perak ini turut melambangkan keunikan institusi diraja, keluhuran perlembagaan, kepentingan tradisi serta hubungan erat antara Raja dan rakyat yang menjadi asas kepada kestabilan, sekali gus membawa kemakmuran kepada rakyat Negeri Darul Ehsan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Buku Menjulang Takhta, Sampul Surat Hari Pertama dan Setem serta Pelancaran Syiling Khas sempena Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Perpustakaan Tun Raja Uda, Shah Alam, hari ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Sharafuddin bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Amirudin berkata, Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan atas kepimpinan, naungan dan keprihatinan Sultan Selangor terhadap kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya merafakkan setinggi-tinggi penghormatan dan menjunjung kasih ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas kepimpinan, naungan dan keprihatinan Baginda terhadap kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri yang kita cintai ini,” katanya.
Dalam masa sama, buku, setem dan syiling khas itu diperkenalkan sebagai usaha merakam sejarah pemerintahan Baginda serta memelihara warisan Kesultanan Selangor untuk generasi akan datang.
Menurut Amirudin, penerbitan buku berkenaan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan usaha bermakna dalam mendokumentasikan sejarah pemerintahan Sultan Selangor, selain mengabadikan warisan dan identiti Kesultanan Selangor.
“Penerbitan buku Menjulang Takhta: 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor merupakan usaha bermakna dalam merakam sejarah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta mengabadikan warisan dan identiti Kesultanan Selangor untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, setem khas yang dihasilkan dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad turut mengetengahkan simbol warisan Diraja Selangor, termasuk Balairung Seri, Istana Alam Shah, Tengkolok Balung Raja, Keris Terapang Gabus dan motif Bunga Tanjung berkelopak sembilan.
Syiling khas pula dihasilkan menerusi usaha Perbendaharaan Negeri Selangor sebagai tanda penghargaan terhadap 25 tahun pemerintahan Baginda, selain melambangkan kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negeri.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan terus memastikan pembangunan Selangor dilaksanakan secara inklusif dan mampan supaya kemakmuran yang dikecapi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.










