Sultan Selangor titah kerabat pelihara maruah institusi Raja

20 Okt 2026, 12:30 PM
Sultan Selangor titah kerabat pelihara maruah institusi Raja
Sultan Selangor titah kerabat pelihara maruah institusi Raja
Sultan Selangor titah kerabat pelihara maruah institusi Raja
Sultan Selangor titah kerabat pelihara maruah institusi Raja
Sultan Selangor titah kerabat pelihara maruah institusi Raja

KLANG, 20 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan seluruh kerabat Diraja Selangor supaya tidak menyalahgunakan nama dan kedudukan institusi Diraja untuk memperdaya orang lain demi kepentingan peribadi.

Baginda bertitah, kedudukan sebagai kerabat Diraja bukan alasan untuk bertindak sesuka hati, sebaliknya setiap ahli kerabat bertanggungjawab memelihara maruah dan kehormatan institusi Raja.

“Beta tidak berkenan jika ada dalam kalangan ahli kerabat Beta yang mengambil kesempatan atas nama kerabat Diraja untuk memperdayakan mana-mana orang demi memperoleh kepentingan diri.

“Hormatilah undang-undang dan patuhilah segala peraturan yang berkuat kuasa. Kedudukan sebagai kerabat bukanlah alasan untuk kita bertindak sesuka hati,” titah Baginda.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah dalam Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 20 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Titah Baginda disampaikan pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Sultan Selangor menyeru seluruh kerabat supaya terus bersatu dalam mempertahankan martabat institusi Raja serta memelihara kehormatan dan nama baik kerabat Diraja Selangor.

Baginda turut menitahkan agar sebarang perbezaan pandangan atau salah faham dalam kalangan kerabat diselesaikan dengan baik dan penuh kebijaksanaan demi menjaga keharmonian serta hubungan sesama kerabat.

“Janganlah kita mengambil pendekatan untuk mengeruhkan keadaan dengan mengadu domba, menyebarkan cerita tidak benar atau mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan sesama kita.

“Peliharalah tutur kata dan adab termasuk ketika menggunakan media sosial serta amalan sikap saling memahami, bertolak ansur dan saling memaafkan,” titah Baginda.

Dari kiri, Nik Nur Farhana Nik Mohamed Fathilah, Raja Faris Amirul Shah Raja Faisal, Putri Syazliqa Affea Sirajuddin dan Putri Syafeera Aqisha Sirajuddin melihat Buku Salasilah Keturunan Sultan, Waris dan Kerabat Diraja Selangor selepas Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 20 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Baginda turut menyeru ahli kerabat supaya saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain, bukan hanya berkumpul ketika majlis dan keraian tetapi turut hadir memberikan sokongan serta bantuan ketika saudara berdepan kesulitan.

Pada majlis sama, lebih 1,500 kerabat Diraja Selangor hadir menyaksikan pelancaran Buku Salasilah Keturunan Sultan, Waris dan Kerabat Diraja Selangor selain mengeratkan silaturahim serta menzahirkan taat setia kepada Sultan Sharafuddin.

Keberangkatan tiba Baginda sekitar jam 3.15 petang turut diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

Antara yang hadir Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 20 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.