SHAH ALAM, 14 OKT: Ibu bapa dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sepanjang tempoh jerebu sekiranya bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan mereka, dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata kelonggaran itu mengambil kira kebimbangan ibu bapa, khususnya terhadap murid yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) juga memulakan penyelarasan tatacara pengoperasian sekolah berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi memastikan keputusan dibuat berdasarkan keadaan semasa.
"Melalui penyelarasan ini, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100, manakala penutupan sekolah dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan," katanya menerusi Facebook.
Fadhlina berkata keputusan pengoperasian sekolah turut mengambil kira perubahan bacaan IPU dan nasihat kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya, bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh singkat, justeru penutupan sekolah beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira keadaan semasa boleh menjejaskan pembelajaran murid.
"Penutupan sekolah untuk beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira perubahan ini boleh menyebabkan anak-anak kehilangan masa pembelajaran walaupun kualiti udara telah kembali pulih," katanya.
Beliau turut memahami keresahan ibu bapa yang terpaksa menunggu keputusan pengoperasian sekolah setiap hari sepanjang negara berdepan jerebu.
Katanya, KKM juga memberikan pandangan mengenai langkah perlindungan kesihatan termasuk penggunaan pelitup muka ketika jerebu.
Fadhlina berharap penyelarasan itu dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa, selain memastikan keselamatan dan kesihatan murid diutamakan tanpa menjejaskan kelangsungan pendidikan.








