SHAH ALAM, 20 OKT: Semua sekolah di Selangor akan beroperasi seperti biasa esok meskipun beberapa kawasan di negeri ini masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, namun semua aktiviti luar ditangguhkan susulan keadaan jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menerusi kenyataan hari ini memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pencemaran udara.
Menurutnya, ibu bapa atau penjaga yang bimbang keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak turut dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak pentadbiran.
“Ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah,” menurut kenyataan itu.
JPN Selangor turut meminta pentadbir sekolah sentiasa memantau bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain memberi perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.
Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran komunikasi rasmi JPN Selangor atau pihak sekolah.
Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri dan wilayah lain, sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Pahang turut beroperasi seperti biasa esok.
Di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka, semua aktiviti luar turut ditangguhkan, manakala Negeri Sembilan menetapkan aktiviti luar bilik darjah dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
JPN Negeri Sembilan turut memaklumkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan dalam tempoh itu perlu ditangguhkan dan dijadualkan semula oleh pihak sekolah susulan keadaan jerebu.
Di Pahang, sekolah di Rompin, Bentong dan Cameron Highlands beroperasi seperti biasa, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan, sementara sekolah di daerah lain meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Bagi Pulau Pinang, murid digalakkan memakai pelitup muka dan minum air secukupnya, manakala pihak sekolah diminta memastikan bekalan air minuman mencukupi.
JPN Perak pula menggalakkan pemakaian pelitup muka selain membenarkan ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka dengan syarat memaklumkan ketidakhadiran berkenaan.
Semua pihak turut dinasihatkan supaya sentiasa memantau perkembangan jerebu dan mematuhi nasihat pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid dan warga sekolah terus terpelihara.







