Jerebu: Ujian Akhir Sesi Akademik minggu depan ditangguh - KPM

15 Okt 2026, 12:44 PM
Jerebu: Ujian Akhir Sesi Akademik minggu depan ditangguh - KPM

PUTRAJAYA, 15 OKT: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan minggu hadapan ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang masih melanda negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu diputuskan selepas mengambil kira kebimbangan ibu bapa dan penjaga terhadap tahap kesihatan serta keselamatan anak-anak, khususnya murid yang perlu hadir ke sekolah untuk menduduki pentaksiran berkenaan.

Menurut kementerian itu, memandangkan UASA merupakan pentaksiran kendalian sekolah, pihak sekolah diberikan kelonggaran untuk menyusun semula jadual pelaksanaannya.

"Jadual baharu akan dimaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga," menurut kenyataan itu.

KPM turut mengakui dilema yang dihadapi ibu bapa dan penjaga apabila perlu mengimbangi aspek kesihatan anak-anak dengan kepentingan memastikan mereka tidak terlepas pentaksiran.

"KPM memahami dilema yang dihadapi ibu bapa. Mereka mahu melindungi kesihatan anak-anak, tetapi pada masa yang sama bimbang sekiranya ketidakhadiran ke sekolah menyebabkan anak-anak terlepas pentaksiran," menurut kenyataan itu.

Kementerian berkenaan memaklumkan kesihatan dan keselamatan murid akan terus menjadi keutamaan, di samping memastikan proses pentaksiran dapat dilaksanakan secara teratur.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.