MB: Titah Sultan Selangor jadi panduan Kerajaan Negeri perkukuh perpaduan

18 Okt 2026, 3:06 PM
MB: Titah Sultan Selangor jadi panduan Kerajaan Negeri perkukuh perpaduan
MB: Titah Sultan Selangor jadi panduan Kerajaan Negeri perkukuh perpaduan
MB: Titah Sultan Selangor jadi panduan Kerajaan Negeri perkukuh perpaduan

SHAH ALAM, 18 OKT: Titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terus menjadi pedoman Kerajaan Negeri dalam memperkukuh permuafakatan, memelihara perpaduan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata panduan Baginda penting demi memastikan kestabilan dan keharmonian Selangor terus terpelihara.

“Titah pedoman Tuanku Sultan terus menjadi panduan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh permuafakatan, memelihara perpaduan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat demi kestabilan dan keharmonian Selangor,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Amirudin turut menyifatkan kewibawaan dan keprihatinan Sultan Sharafuddin yang sentiasa dekat di hati rakyat sepanjang 25 tahun pemerintahan Baginda sebagai cerminan keakraban institusi diraja dengan masyarakat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat (Siri 1) sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang pada 18 Oktober 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, hubungan itu terserlah menerusi Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang, hari ini sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor.

Majlis berkenaan menghimpunkan rakyat pelbagai kaum dan agama dari empat daerah iaitu Klang, Petaling, Hulu Selangor dan Sabak Bernam bagi meraikan detik bermakna dalam sejarah negeri.

“Majlis petang ini mempererat tautan kasih antara institusi diraja dengan rakyat jelata Selangor yang berbilang kaum dan agama.

“Keakraban ini mencerminkan kewibawaan dan keprihatinan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa dekat di hati rakyat sepanjang 25 tahun pemerintahan Baginda,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berswafoto bersama tetamu yang hadir ke Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat di Padang Mahkota, Istana Alam Shah pada 18 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berangkat ke majlis berkenaan.

Turut berkenan berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.

“Semoga Allah SWT melanjutkan usia Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin serta mengurniakan kesihatan, keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan kepada Baginda berdua serta kerabat diraja agar terus memayungi rakyat Selangor,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.