SHAH ALAM, 19 OKT: Orang ramai diminta membuat pengesahan dengan pentadbiran Istana Selangor sebelum berurusan dengan mana-mana individu yang mendakwa mempunyai kedudukan atau hubungan dengan institusi diraja.
Peringatan itu dikeluarkan susulan laporan polis berhubung individu yang menyamar sebagai pengawal peribadi sulit Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor bagi memperdaya orang ramai dalam urusan penjualan tanah dan kereta mewah.
Pentadbiran Istana Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, individu terbabit menggunakan penyamaran berkenaan untuk meraih keuntungan peribadi.
“Pihak Istana Selangor memohon kerjasama orang awam supaya membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana berkaitan apa-apa dakwaan yang mengatakan kedudukan individu terlibat dengan nama istana dalam membuat sebarang urusan,” menurut kenyataan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertarikh 18 Oktober.
Menurut kenyataan itu, pihak istana memandang serius kes berkenaan dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tindakan dapat dijalankan secara menyeluruh, adil dan telus.
Pentadbiran istana turut menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kes tersebut.







