CCTV perkukuh keselamatan sekolah agama, cegah kes jenayah dan ceroboh

26 Nov 2026, 2:00 PM
CCTV perkukuh keselamatan sekolah agama, cegah kes jenayah dan ceroboh

SEPANG, 26 NOV: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah agama dan maahad tahfiz perlu diberi perhatian bagi meningkatkan keselamatan pelajar, khususnya di kawasan asrama serta premis yang berkongsi kawasan dengan masjid.

Pensyarah Darul Quran Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian, Muhammad Hafiz Md Samuri berkata kemudahan itu penting untuk memantau pergerakan pelajar dan orang luar, terutama di kawasan sekolah yang mempunyai akses terbuka kepada orang awam.

“Contohnya, kedudukan MITS Alam Impian yang bersebelahan dengan masjid berpotensi menyebabkan orang luar memasuki kawasan sekolah sekali gus memerlukan kawalan keselamatan lebih rapi.

“Lokasi yang perlu diberi perhatian termasuk kawasan larangan seperti bilik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pejabat, pintu pagar utama dan bilik peperiksaan bagi mencegah insiden seperti kemalangan serta buli dalam kalangan murid,” katanya kepada Media Selangor.

Keperluan itu turut dipersetujui ibu bapa yang melihat CCTV sebagai langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan anak-anak, khususnya ketika mereka berada di asrama.

Nor Fazilah Sidek, 43, berkata kemudahan berkenaan bukan bertujuan mengawal pergerakan pelajar secara berlebihan, sebaliknya membantu meningkatkan pemantauan ketika guru tidak dapat mengawasi mereka sepanjang masa.

Nor Fazilah Sidek, 43

“Pemasangan CCTV sangat penting di blok asrama kerana guru tidak dapat memantau pergerakan pelajar setiap masa. Justeru, saya berharap inisiatif ini dapat dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjaga,” katanya.

Pandangan sama dikongsi pelajar MITS Alam Impian, Hanan Sumayyah Roslan, 16, yang berpendapat pemasangan CCTV dapat membantu mencegah kejadian tidak diingini seperti kecurian dan pecah masuk.

Beliau berkata, kawasan asrama, blok pentadbiran dan akademik antara lokasi yang wajar dilengkapi kemudahan itu bagi memudahkan pemantauan serta membantu mengenal pasti punca sesuatu kejadian.

Hanan Sumaiyyah Roslan, 16

“Rakaman CCTV dapat dijadikan bukti untuk mengenal pasti punca sesuatu insiden dan membantu pihak berkuasa mengesan individu yang terbabit. Selain itu, rondaan pengawal keselamatan juga boleh ditingkatkan bagi memperketat kawalan di kawasan sekolah,” katanya.

Kepentingan aspek keselamatan di sekolah agama turut mendapat perhatian susulan beberapa kejadian pecah masuk yang dilaporkan berlaku di premis berkenaan.

Pada Mei 2025, sebuah sekolah rendah agama di Bukit Jelutong, Shah Alam dilaporkan dipecah masuk dua lelaki yang melarikan wang tunai RM1,600. Kes itu disiasat polis mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Terbaharu, Sekolah Agama Taman Pulai Indah (SATPI) di Iskandar Puteri, Johor dilaporkan mengalami kerugian kira-kira RM5,000 selepas premis itu dipecah masuk pada awal November ini. Antara barangan yang hilang termasuk komputer riba, televisyen, peralatan CCTV dan peti besi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.