SHAH ALAM, 8 MEI: Pengelasan kes simbahan asid ke atas pemain Selangor FC Faisal Halim sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) tidak bermaksud siasatan kes berkenaan ditamatkan.
Penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim menjelaskan keputusan NFA hanya menunjukkan pihak pendakwa raya tidak dapat mengambil tindakan lanjut berikutan kekurangan bukti.
“NFA bukan bermakna kertas siasatan ditutup. Ia bermakna buat masa itu, dengan pembuktian siasatan, tiada tindakan lanjut dapat diambil sehingga terdapat bukti lain,” katanya kepada Media Selangor.
Hari ini, firma guaman Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co yang mewakili Faisal memaklumkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA selepas pihak polis tidak mengesan sebarang petunjuk yang mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek.
Mengulas lanjut, Kamal menyeru orang awam untuk tampil memberikan maklumat atau bukti yang boleh membantu siasatan, sama ada melalui laporan polis atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat.
“Ini Malaysia. Pemimpin negara pun boleh dibawa ke mahkamah. Kalau ada sesuatu yang boleh bantu siasatan, tampil ke hadapan. Kita pun mahu tahu siapa dalangnya,” tegasnya.
[caption id="attachment_641295" align="aligncenter" width="764"] Keadaan Faisal Halim selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara pada 5 Mei 2024. Foto ihsan laman X Fina Nasrom[/caption]
Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal diserang individu tidak dikenali yang menyimbah asid ke atasnya ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Akibat serangan itu, beliau mengalami lecur tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan serta rawatan fisioterapi.
Dua bulan selepas kejadian, Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan usul tergempar mengecam keganasan terhadap atlet sukan, yang turut mendapat sokongan wakil kerajaan dan pembangkang.
Dalam usul itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan dan hasilnya didedahkan kepada umum.
Susulan itu, polis Selangor memaklumkan kes telah diambil alih oleh pasukan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
[caption id="attachment_647724" align="aligncenter" width="814"] Pemain Selangor FC Faisal Halim bercakap dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]