SHAH ALAM, 18 OKT: Penambahbaikan infrastruktur mitigasi banjir di USJ, Subang Jaya berjaya mengehadkan tempoh banjir kilat kepada 15 minit semalam (17 Oktober) meskipun kawasan itu menerima hujan ekstrem dengan corak hampir sama seperti insiden besar pada 2019.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata keberkesanan sistem saliran sedia ada membantu mengelakkan air memasuki kediaman penduduk, selain memastikan jalan utama kekal boleh dilalui kenderaan.
Menurutnya, data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan stesen pemantauan USJ 1 merekodkan taburan hujan sebanyak 113.5 milimeter (mm), tertinggi di Selangor pada 17 Oktober.
“Walaupun ini menunjukkan kemajuan yang jelas, ketiadaan kejadian berulang seperti pada 2019 tidak bermakna keadaan semasa sudah memuaskan.
“Penduduk berhak mendapat infrastruktur yang memberikan perlindungan lebih baik daripada banjir dan kita mesti terus berusaha mencapai matlamat itu,” katanya dalam kenyataan bersama Ahli Majlis Zon 3 Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Christopher Joseph, hari ini.

Hujan lebat semalam menyebabkan paras Sungai Klang dan saliran utama meningkat sehingga melebihi kapasiti pelepasan air di bahagian hilir, sekali gus mencetuskan banjir kilat di kawasan rendah sekitar USJ 1, USJ 9 dan USJ 12.
Bagaimanapun, kemudahan takungan air di lokasi (OSD) bernilai RM756,100 di persimpangan Persiaran Kewajipan dan Persiaran Perpaduan beroperasi pada kapasiti maksimum, dibantu struktur kawalan aliran serta kolam takungan lain bagi mengurangkan impak kejadian.
Sehubungan itu, beliau berkata beberapa langkah sedang dinilai bersama pihak berkuasa berkaitan, termasuk pemasangan struktur kawalan aliran air, pembinaan kemudahan takungan baharu serta kajian kebolehlaksanaan sambungan saliran antara USJ 13 dan USJ 14 di Persiaran Mulia.
“Mitigasi banjir memerlukan pendekatan terselaras yang mengambil kira corak hujan, kapasiti saliran, takungan air, pelepasan ke hilir serta perubahan keperluan komuniti,” katanya.
Kedua-duanya berkata tumpuan kini diberikan kepada pemuktamadan data hidraulik bersama JPS dan MBSJ, pemodelan aliran air serta mendapatkan kelulusan bagi peluasan rangkaian saliran.
Untuk rekod, kejadian hujan ekstrem pada 17 Oktober menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah sekitar USJ, dengan air surut dalam tempoh kira-kira 15 minit tanpa memasuki kediaman penduduk.
Pada 2019, banjir besar di Persiaran Kewajipan menyebabkan jalan raya ditenggelami air untuk tempoh lama sehingga beberapa kenderaan terapung.








