SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Selangor disaran menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) khusus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam, sekali gus memastikan inisiatif subsidi tambang yang diperkenalkan Kerajaan Negeri memberi kesan maksimum kepada rakyat.
Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata subsidi tambang pengangkutan awam RM30 sebulan yang diumumkan pentadbiran negeri merupakan langkah proaktif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, namun keberkesanannya bergantung kepada kemudahan rakyat untuk sampai ke stesen atau hab transit.
Menurutnya, cabaran utama yang masih dihadapi pengguna ialah aspek perjalanan awal dan akhir (first-mile dan last-mile connectivity), khususnya bagi mereka yang perlu berjalan kaki atau berbasikal untuk ke stesen LRT, MRT dan hab pengangkutan awam.

“Rakyat bukan tidak mahu menaiki LRT atau bas pintar, tetapi kekangan fizikal untuk sampai ke stesen tersebut sering kali mengecewakan.
“Justeru, Kerajaan Negeri perlu mengarahkan semua PBT memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf dan memperluaskan kemudahan pejalan kaki serta laluan basikal berbumbung,” katanya ketika membahaskan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Negeri Selangor, petang tadi.
Michelle berkata setiap PBT juga wajar diberikan KPI yang jelas bagi memastikan penyediaan jaringan laluan pejalan kaki yang selamat, inklusif dan mesra pengguna, termasuk untuk golongan orang kurang upaya (OKU) serta pengguna kereta sorong bayi.
Beliau turut mencadangkan supaya laluan basikal yang lengkap diwujudkan dalam lingkungan 400 meter dari setiap stesen LRT, MRT dan hab pengangkutan utama di kawasan pentadbiran masing-masing.
Menurutnya, usaha meningkatkan kemudahan fizikal itu perlu dilaksanakan seiring dengan pengembangan sistem Transit Responsif Atas Permintaan (DRT) yang sedang diperkenalkan Kerajaan Negeri.
“Dengan adanya kemudahan fizikal sebegini di peringkat tempatan, digabungkan pula dengan ekosistem DRT yang sedang digerakkan oleh negeri, barulah kita dapat membina satu rantaian mobiliti hijau yang praktikal.
“Ini sekali gus memastikan pelaburan berjuta ringgit dalam subsidi pengangkutan awam benar-benar mencapai impak maksimum,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap pemberian subsidi tambang pengangkutan awam RM30 sebulan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dapat menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Beliau berkata orang ramai perlu memanfaatkan inisiatif itu sebaiknya serta membuat persediaan awal melalui aplikasi NINE.
“Sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta yang telah saya umumkan sebelum ini, permohonan Subsidi Tambang Pengangkutan Awam selama enam bulan telah mula dibuka pada 1 Jun 2026,” katanya.







