SHAH ALAM, 25 JUN: Kerja penurapan semula jalan di beberapa kawasan perumahan sekitar Subang Jaya sedang dilaksanakan menerusi peruntukan RM3.5 juta di bawah dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) 2026.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata kerja berkenaan telah dimulakan di lokasi yang diluluskan dan akan diteruskan secara berperingkat.
“Subang Jaya merupakan kawasan yang luas dengan infrastruktur yang semakin berusia serta memerlukan penyelenggaraan berterusan di pelbagai kejiranan.
“Walaupun tidak semua jalan dapat diturap semula dalam tempoh setahun, usaha akan diteruskan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan agensi berkaitan bagi mendapatkan peruntukan tambahan serta mengutamakan kawasan yang paling memerlukan perhatian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Michelle, kerja penurapan semula itu melibatkan beberapa kawasan perumahan di sekitar USJ mengikut lokasi yang telah diluluskan.
“Antara kawasan yang terlibat ialah sebahagian kawasan perumahan USJ 3A dengan peruntukan RM755,210.34, USJ 3C melibatkan RM712,644.67 serta USJ 3B dan USJ 3D dengan kos RM784,683.33.
“Selain itu, kawasan USJ 22 menerima peruntukan terbesar berjumlah RM865,469.58 manakala USJ 19 diperuntukkan RM381,992.06 bagi tujuan penurapan semula jalan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang terus menyalurkan aduan dan berkongsi maklum balas berhubung keadaan jalan serta kemudahan awam di kawasan masing-masing.
“Terima kasih kepada semua penduduk yang terus memberikan maklum balas dan berinteraksi secara konstruktif dengan pusat khidmat kami.
“Kesabaran serta kerjasama penduduk amat membantu dalam usaha mengenal pasti keutamaan penyelenggaraan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada komuniti setempat,” katanya.








