SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Selangor disaran meneliti keperluan menyalurkan peruntukan tambahan kepada KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) bagi memastikan kelangsungan operasi kutipan sisa pukal yang semakin terkesan akibat peningkatan kos bahan api susulan krisis tenaga global.
Ahli Dewan Negeri Subang Jaya berkata walaupun lori kompaktor KDEBWM bagi kutipan sampah harian menerima subsidi diesel kerajaan Persekutuan, situasi berbeza berlaku bagi lori roll-on roll-off (RORO) yang digunakan untuk kutipan sisa pukal, pembersihan awam dan pemangkasan pokok.
Michelle Ng Mei Sze berkata ketidakseimbangan itu memberi tekanan langsung kepada kontraktor di lapangan sehingga menjejaskan operasi harian.

“Kontraktor yang mengendalikan lori RORO kini berdepan tekanan kos yang serius akibat kesan berpanjangan perang dan saya dimaklumkan mereka terpaksa membuat pilihan sama ada membayar gaji atau menampung kos diesel,” katanya ketika membahaskan Pakej Ketahanan Ekonomi Selangor (SREP) Fasa 2 pada sidang khas Dewan Negeri Selangor di sini, petang tadi.
Walaupun tidak berlaku gangguan menyeluruh, Michelle berkata sistem sedia ada mula menunjukkan tanda-tanda tekanan yang memerlukan perhatian serius.
Sehubungan itu, beliau menegaskan campur tangan segera pentadbiran negeri diperlukan bagi memastikan perkhidmatan kebersihan dan kesihatan awam tidak terjejas.
“Sektor ini memerlukan tambahan RM4 juta sebulan, dan saya berharap pembiayaan kecemasan ini dapat disalurkan oleh Kerajaan Negeri, sekurang-kurangnya untuk baki bulan tahun ini, bagi memastikan kesinambungan dan kelancaran operasi KDEBWM,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir memaklumkan syarikat itu berdepan tekanan kos operasi yang ketara susulan kenaikan harga diesel.
Beliau berkata kos bahan api bagi kira-kira 850 lori RORO dianggarkan mencecah RM4 juta sebulan, sekali gus memberi kesan langsung kepada operasi pengurusan sisa di Selangor.






