SHAH ALAM, 11 OGOS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta meneliti semula aspek keselamatan di sekitar Sungai Klang susulan kejadian seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah, Subang Jaya semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata langkah itu penting memandangkan sungai berkenaan terletak di kawasan bandar dan mempunyai beberapa lokasi yang berisiko.
“Saya telah berhubung dengan pihak JPS untuk meneliti langkah-langkah keselamatan yang boleh ditambah baik.
“Ini kawasan bandar dan dekat dengan sungai jadi ada keperluan untuk kita melihat semula aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian lemas berulang,” katanya ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Michelle, aspek keselamatan penduduk juga perlu diberi perhatian ketika projek menaik taraf ban Sungai Klang sedang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu bukan sahaja perlu mengambil kira aspek mitigasi banjir, malah keselamatan penduduk di sekitar sungai turut perlu diutamakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Michelle memaklumkan satu jasad ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi tadi, namun identitinya masih belum dapat disahkan.
Beliau berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti jasad berkenaan.
“Saya mohon ruang kepada orang ramai untuk memberi peluang kepada pihak polis, bomba dan hospital menjalankan siasatan sewajarnya. Kita masih mengharapkan yang terbaik terutama untuk keluarga terbabit,” katanya.

Michelle turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam operasi SAR sejak semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian tersebut merupakan kes pertama sepanjang tempoh beliau berkhidmat di Subang Jaya, meskipun kejadian individu terjatuh ke Sungai Klang pernah berlaku di lokasi lain.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Klang di Persiaran Subang Indah, bersebelahan sebuah pasar raya di Subang Jaya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.06 malam.







