KUALA LANGAT, 15 SEPT: Seramai 60 belia menyertai program konvoi motosikal Hari Malaysia Team Selangor di Kampung Ladang Batu di sini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat.
Datuk Borhan Aman Shah berkata peserta turut bergotong-royong membersihkan pantai Batu Laut, taman permainan dan perpustakaan desa Kampung Ladang Batu.
"Aktiviti rewang memasak nasi ambeng oleh penduduk juga diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta konvoi mengenai penyediaan makanan warisan Selangor.
[caption id="attachment_663412" align="aligncenter" width="675"] Penduduk menyediakan masakan Nasi Ambeng ketika aktiviti rewang sempena majlis perasmian program Bike Week Hari Malaysia Team Selangor di Balai raya Kampung Ladang Batu, Kuala Langat pada 15 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Program anjuran Team Selangor dengan kerjasama beberapa pihak termasuk ADN Lembah Jaya adalah usaha yang sangat baik melibatkan gabungan belia dari Klang, Shah Alam, Ampang, Sepang dan Kuala Langat.
“Aktiviti yang dirangka memberi peluang mereka menabur bakti menerusi gotong royong di samping belajar mengenai budaya masyarakat setempat,” katanya ditemui di Dataran Batu Laut di sini, hari ini.
Sementara itu, ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali Altimet berkata program seperti itu wajar dianjurkan sebagai pengisian masa kepada golongan belia.
“Ia bukan saja boleh merapatkan ukhuwah antara belia bandar dan desa tetapi memberi pendedahan baharu kepada mereka seperti makanan tradisional tempatan dan sebagainya.
“Jadi ketua komuniti, ahli majlis, ADN atau ahli Parlimen perlu mainkan peranan untuk buat program mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah,” katanya yang turut menyertai konvoi dari Ampang ke Kampung Ladang Batu.
[caption id="attachment_663413" align="aligncenter" width="645"] ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman bersama konvoi tiba di majlis perasmian program Bike Week Hari Malaysia Team Selangor di Balai raya Kampung Ladang Batu, Kuala Langat pada 15 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]