SHAH ALAM, 21 JUN: Seramai 61 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima insentif kecemerlangan daripada DUN Tanjong Sepat sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik mereka.
Program penyampaian hadiah itu yang diadakan semalam di Dewan Kebudayaan Homestay Pantai Batu Laut dan dirasmikan oleh ADN Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah membuktikan komitmen berterusan DUN dalam memperkasakan sektor pendidikan serta menggalakkan lebih ramai pelajar mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.
Kesemua penerima terdiri daripada anak-anak pengundi berdaftar DUN Tanjong Sepat yang memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 5A dalam peperiksaan SPM 2025.
Daripada jumlah itu, seramai 19 pelajar memperoleh 5A, diikuti 11 pelajar (6A), sembilan pelajar (7A), lapan pelajar (8A), 10 pelajar (9A), manakala masing-masing dua pelajar memperoleh 10A dan 11A.
Melalui program tersebut, pemberian wang tunai disalurkan berdasarkan jumlah gred A yang diperoleh, dengan kadar RM50 bagi setiap A. Sehubungan itu, pelajar yang memperoleh 5A menerima RM250, manakala penerima 11A menerima RM550.
Selain wang tunai, setiap pelajar turut menerima sijil penghargaan dan hadiah iringan sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha serta dedikasi mereka dalam pelajaran.
Secara keseluruhan, sebanyak RM15,400 diperuntukkan bagi menjayakan inisiatif berkenaan.
Program itu turut mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap pembangunan modal insan dan pendidikan dalam kawasan DUN Tanjong Sepat.
Sehingga Mei lalu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjong Sepat telah menyalurkan RM20,000 bagi membantu pelbagai keperluan institusi pendidikan di kawasan berkenaan.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk sumbangan kepada mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penyediaan televisyen pintar (Smart TV), baik pulih gelanggang, bantuan alat tulis untuk calon SPM, penyediaan kerusi dan meja, baik pulih kantin serta pondok pengawal.











