Lebih 300 pelajar perempuan di Seremban jadi mangsa suntingan gambar bogel AI

18 Okt 2026, 7:32 AM
Lebih 300 pelajar perempuan di Seremban jadi mangsa suntingan gambar bogel AI
Lebih 300 pelajar perempuan di Seremban jadi mangsa suntingan gambar bogel AI

SHAH ALAM, 18 OKT: Lebih 300 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan dipercayai menjadi mangsa penyuntingan gambar bogel menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Harian Metro melaporkan bahawa gambar mengaibkan itu dipercayai tersebar dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan, dan turut didakwa dijual menerusi aplikasi Telegram. 

Peguam, Ng Kian Nam berkata, kejadian itu mula dikesan pada 12 Ogos lalu apabila seorang pelajar tingkatan dua menemui telefon pintar tanpa kata laluan di surau sekolah sebelum mendapati terdapat gambar lucah dalam peranti berkenaan.

"Dalam kejadian 12 Ogos itu, pelajar tingkatan dua berkenaan kemudian menghantar gambar berkenaan ke Instagram kakaknya yang berusia 17 tahun.

"Gambar berkenaan adalah muka pelajar sekolah itu yang disunting tanpa pakaian menggunakan AI.

"Difahamkan pelajar ini meletakkan semula telefon berkenaan (di tempat asal) sebelum diambil guru disiplin sekolah," katanya dipetik akhbar Harian Metro, hari ini. 

Jelasnya, telefon pintar itu kemudiannya disahkan milik seorang pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan.

Susulan kejadian itu, lima laporan polis dibuat pada 20 Ogos lalu, termasuk oleh ibu bapa pelajar yang menemui telefon berkenaan.

Tambah Ng lagi, satu pertemuan antara ibu bapa dan Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) kemudian diadakan, dengan kedua-dua pihak bersetuju menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).

"Pada 15 September lalu, satu perjumpaan antara ibu bapa, wakil persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), LPS, pihak sekolah dan pegawai JPN diadakan.

"Dalam pertemuan ini, pihak sekolah mengaku dan mengesahkan terdapat lebih 300 mangsa yang terbabit dalam kes suntingan gambar bogel menggunakan AI itu," katanya.

Menurut Ng, pelajar lelaki yang dipercayai terbabit digantung sekolah, manakala pihak sekolah sudah mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan jabatan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa ibu bapa tidak dimaklumkan mengenai status gambar anak masing-masing atau kejadian sebenar yang berlaku.

"Ibu bapa pelajar yang menjumpai telefon bimbit juga tidak berpuas hati apabila dua anak mereka diminta untuk tanda tangan satu surat akujanji supaya tidak mendedahkan kejadian itu sekiranya tidak mahu diambil tindakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu surat dihantar kepada Balai Polis Jalan Campbell di sini bagi menuntut siasatan lebih menyeluruh berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima lima laporan polis daripada ibu bapa berhubung penyebaran gambar wajah pelajar perempuan berkenaan antara 20 hingga 23 Ogos lalu.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.