SHAH ALAM, 20 NOV: Kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual suka sama suka perlu dilindungi, dibimbing dan dipulihkan, bukan dihukum semata-mata.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata golongan ini perlu diberi peluang memperbaiki diri tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang.
“Secara peribadi, saya berpendirian bahawa kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual secara suka sama suka perlu dilindungi, dibimbing serta dipulihkan dan bukannya dihukum.
“Ini kerana tahap kematangan kanak-kanak tidak seperti orang dewasa, menyebabkan mereka tidak mampu menilai kesan jangka panjang sesuatu tindakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Nancy berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS–Sri Aman) mengenai pendirian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhubung cadangan mengenakan hukuman terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur yang terlibat dalam jenayah seksual.
Menurut beliau, fokus kementerian ketika ini adalah kepada kaunseling, pendidikan dan sokongan berstruktur bagi memastikan pembangunan sahsiah serta kesejahteraan masa depan mereka lebih terjamin.
Tegasnya, isu ini tidak boleh ditangani melalui undang-undang semata-mata, sebaliknya memerlukan kesedaran masyarakat, institusi keluarga yang kukuh, serta pembabitan komuniti dalam membentuk jati diri kanak-kanak.




