SHAH ALAM, 9 FEB: Lebih 880,000 fail digital yang mengandungi bahan penganiayaan seksual kanak-kanak ditemui, menandakan lonjakan membimbangkan jenayah seksual terhadap golongan tersebut di alam maya.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata fail tersebut ditemui dalam Operasi Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0 pada tahun lalu
Jelas beliau, kanak-kanak yang sebelum ini menjadi mangsa kini turut bertindak sebagai pelaku dengan menjual bahan seksual untuk menjana pendapatan.
“PDRM turut mempergiatkan pengesanan jenayah siber sejak awal tahun ini dan dalam tempoh sebulan pertama sahaja, banyak kes melibatkan kanak-kanak yang lebih muda telah dikenal pasti.
“Penemuan terkini juga menunjukkan kanak-kanak yang menghasilkan sendiri bahan berunsur seksual, berkongsi dengan rakan dalam talian seterusnya menjual kandungan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi forum Internet Selamat, Tanggungjawab Semua sempena Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Taman Tasik Titiwangsa, semalam.
Siti Kamsiah berkata Operasi Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 1.0 sebelum ini juga mengesan 40,000 bahan seksual kanak-kanak yang ditonton rakyat Malaysia, mendorong ketagihan dan pencarian keseronokan terhadap kandungan tersebut.
Mengulas mengenai modus operandi, beliau menjelaskan, ‘grooming’ ialah satu proses yang digunakan pelaku, bermula dengan berkenalan sebagai rakan sebelum memberi pujian dan menunjukkan perhatian untuk meraih kepercayaan mangsa.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan seramai 31 individu ditahan dengan 25 daripadanya merupakan suspek utama dalam Operasi Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0 yang dilaksanakan tahun lalu.
Katanya, sebanyak 82 peranti digital dirampas sepanjang operasi itu dengan jumlah fail meningkat lebih 20 kali ganda berbanding Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 1.0 pada Disember 2024.


