Ibu bapa digesa pantau aktiviti anak dalam talian, cegah eksploitasi seksual

9 Feb 2026, 10:39 AM
Ibu bapa digesa pantau aktiviti anak dalam talian, cegah eksploitasi seksual

SHAH ALAM, 9 FEB: Ibu bapa digesa lebih peka serta mengesan awal sebarang perubahan tingkah laku atau aktiviti anak-anak dalam talian bagi mencegah eksploitasi seksual kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata pemantauan dan bimbingan di rumah menjadi benteng utama untuk melindungi kanak-kanak menjadi mangsa jenayah.

“Kebanyakan ibu bapa hanya membuat laporan apabila kes sudah berada di peringkat akhir termasuk yang melibatkan kehamilan sedangkan perubahan tingkah laku anak-anak sepatutnya dikesan lebih awal.

“Ibu bapa perlu faham risiko di dunia maya kerana ancaman kini bukan lagi bersifat fizikal semata-mata sebaliknya melibatkan kesan baik dan buruk penggunaan telefon pintar, media sosial dan internet,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi forum Internet Selamat, Tanggungjawab Semua sempena Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Taman Tasik Titiwangsa, semalam.

Siti Kamsiah turut mendedahkan kes membimbangkan apabila seorang bapa sanggup berkongsi gambar seluar dalam anaknya di ‘dark web’, dipercayai berpunca pendedahan kepada bahan seksual kanak-kanak.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Kamsiah mendedahkan statistik jenayah seksual melibatkan kanak-kanak menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan purata 1,500 kes jenayah seksual dilaporkan setiap tahun di seluruh negara.

Pada 29 Ogos lalu, media melaporkan satu jaringan pedofilia mengandungi pornografi bayi dan kanak-kanak dalam aplikasi Telegram serta ‘dark web’ terbongkar menerusi penahanan 11 suspek warga asing dan tempatan dalam Operasi Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata dua bayi lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara dua bulan hingga lima bulan berjaya diselamatkan dalam operasi sama.