Perpustakaan Syed Mashor milik Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Kuala Kubu Bharu ini cukup unik. Dibina pada 1984, perpustakaan ini bukan sekadar tempat membaca, sebaliknya menjadi tempat komuniti luar bandar itu berkumpul.
Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke situ menggunakan kemudahan disediakan seperti permainan komputer dan pelbagai jenis bahan bacaan. Lebih menarik apabila ia juga diiktiraf sebagai ‘My Second Home’ iaitu kanak-kanak boleh mandi dan bersiap sebelum ke sekolah.
Melalui transformasi besar-besaran pada 2022, perpustakaan itu menerima kunjungan lebih 500 orang sehari dan mampu mencecah 1,000 orang pada hujung minggu.
Ada pengunjung dari Kuala Lumpur memilih perpustakaan berkenaan sebagai tempat bekerja kerana suasananya lebih tenang berbanding rumah atau kafe.
Jurufoto Ahmad Zakki Jilan merakam suasana perpustakaan pada petang Jumaat baru-baru ini dan pengunjungnya menikmati pelbagai kelengkapan dan kemudahan disediakan.
Kanak-kanak mendapatkan khidmat petugas di kaunter Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu. Perpustakaan kendalian PPAS itu bukan sahaja menyediakan bahan bacaan, malah menjadi ruang komuniti dan ‘rumah kedua’ khususnya buat kanak-kanak setempat.
Sebuah keluarga meluangkan masa bersama sambil bermain karom di ruang santai Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu. Pelbagai kemudahan dan aktiviti disediakan menjadikan perpustakaan itu ruang rekreasi serta tempat komuniti setempat berkumpul bersama keluarga
Pengunjung memanfaatkan Bilik Perbincangan yang disediakan di Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu sebagai ruang belajar, berbincang dan menyiapkan tugasan dalam suasana selesa serta kondusif. Kemudahan itu antara usaha menjadikan perpustakaan sebagai ruang komuniti yang memenuhi pelbagai keperluan pengunjung.
Pengunjung berbincang sambil memanfaatkan ruang bacaan di Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu. Koleksi bahan bacaan yang pelbagai serta suasana tenang dan selesa menjadikan perpustakaan berkenaan bukan sekadar tempat membaca, malah ruang untuk belajar, bekerja dan berinteraksi.
Kanak-kanak menggunakan kemudahan komputer yang disediakan di Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu. Selain bahan bacaan, kemudahan digital dan permainan komputer turut menjadi tarikan kepada golongan muda sekali gus menjadikan perpustakaan itu sebagai ruang pembelajaran dan riadah komuniti setempat.
Pengunjung memanfaatkan ruang bacaan di Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu, untuk membaca dan menelaah bahan rujukan yang disediakan. Kemudahan serta suasana yang selesa menjadikan perpustakaan itu pilihan komuniti setempat sebagai ruang menimba ilmu dan melakukan aktiviti pembelajaran.
Kanak-kanak membaca buku di ruang khas berkonsepkan rumah di Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu. Konsep ‘My Second Home’ menyediakan suasana santai dan selesa, sekali gus menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua untuk kanak-kanak membaca, belajar dan mengisi masa lapang.
Ahmad Farhan Izzat, 33, menemani dua anaknya membaca dan melakukan aktiviti pembelajaran di Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu. Suasana mesra keluarga serta kemudahan yang selesa menjadikan perpustakaan itu ruang untuk ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa berkualiti bersama.
Muhammad Aiman Irsyaduddin, 14, pelajar SMK Dato’ Haji Kamaruddin secara sukarela menyusun semula buku yang telah digunakan pengunjung di Perpustakaan Syed Mashor, PPAS Kuala Kubu Bharu.
Pengunjung memilih dan membaca bahan bacaan di Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu. Koleksi buku daripada pelbagai kategori yang disediakan memberi ruang kepada pengunjung mendapatkan bahan rujukan dan mengisi masa lapang dalam suasana selesa.
Pengunjung menikmati kemudahan ruang makan dan kafe yang disediakan di Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Bharu. Kemudahan itu melengkapkan konsep perpustakaan sebagai ‘rumah kedua’ yang bukan sahaja menawarkan ruang membaca dan belajar, malah tempat komuniti berehat serta meluangkan masa bersama keluarga.