Pustaka daerah destinasi pilihan awam, kemudahan menyeluruh

14 Nov 2026, 4:00 AM
Pustaka daerah destinasi pilihan awam, kemudahan menyeluruh
Pustaka daerah destinasi pilihan awam, kemudahan menyeluruh
Pustaka daerah destinasi pilihan awam, kemudahan menyeluruh

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memiliki jaringan perkhidmatan perbukuan yang menyeluruh dari pusat bandar ke ceruk desa, ibarat membawa buku ke pintu rumah pembaca.

Berpusat di Seksyen 13, Shah Alam, PPAS memiliki rangkaian perpustakaan daerah, cawangan, pekan, desa selain menyediakan perkhidmatan bergerak demi memastikan gelombang ilmu sampai ke pelosok negeri.

Jangkauan itu membantu usaha menghidupkan budaya membaca dalam kalangan penduduk termasuk di kawasan pedalaman seterusnya menumbuhkan nilai intelek kalangan kanak-kanak, pelajar dan masyarakat setempat.

Menurut Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Mohamad, terdapat 105 perpustakaan pada masa ini. Bilangan itu pula dijadual bertambah kepada 112 pada tahun depan.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,080,698 kunjungan dicatat tujuh perpustakaan daerah termasuk 43 peratus daripadanya dilawati golongan murid dan pelajar peringkat menengah.

Angka tersebut sekali gus menunjukkan peranan perpustakaan kekal relevan sebagai destinasi pilihan pelajar untuk menimba ilmu di luar bilik darjah, sekali gus mengurangkan pengaruh kerancakan media sosial yang berleluasa dan mudah melalaikan mereka.

Sepanjang tahun 2025, Hulu Langat mencatat bilangan kunjungan pelajar tertinggi dalam kategori daerah diikuti Kuala Langat dan Hulu Selangor. (Rujuk jadual)

Grafik Farah Azila Mustapha

Dari sudut peminjaman bahan bacaan pula, sebanyak 307,401 buku dipinjam dari perpustakaan daerah dalam tempoh sama termasuk 104,789 naskhah lagi dipinjam pelajar menengah.

Berdasarkan rekod bagi tahun berkenaan, sebanyak 8,732 naskhah dipinjam secara purata dalam sebulan bersamaan 291 buku dalam sehari. Mengikut peraturan PPAS, pengunjung yang menjadi ahli boleh meminjam 20 buku dalam masa sebulan.

Data itu menunjukkan perpustakaan daerah berfungsi sebagai ruang sokongan akademik untuk pelajar berkumpul mencari bahan rujukan, menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran.

Secara tidak langsung, kedudukan perpustakaan yang berhampiran rumah berperanan sebagai syurga ilmu. Di situlah mereka berkumpul dan menghabiskan masa lapang untuk membaca, mengulang kaji pelajaran serta mencari bahan rujukan.

Perpustakaan daerah juga berfungsi sebagai ruang awam yang mesra pengguna dan sesuai untuk semua tahap usia. Baik kepada mereka yang mengikuti pendidikan formal mahupun ahli masyarakat yang mahu menimba ilmu secara kendiri.

Setiap perpustakaan itu juga dilengkapi internet percuma, pendingin hawa, sudut komputer, perkhidmatan multimedia serta ruang belajar yang selesa untuk memudahkan pengunjung termasuk pelajar meneroka maklumat. Bilik diskusi, kafeteria, surau juga disediakan dan sentiasa terjaga.

Semua tujuh perpustakaan daerah itu dilengkapi 552,885 buku fizikal mencakupi pelbagai cabang ilmu, dari bahan bacaan umum, karya sastera hingga buku rujukan akademik. Sabak Bernam memiliki koleksi terbanyak disusuli Gombak dan Klang. (Rujuk jadual)

Grafik Farah Azila Mustapha

Pelbagai variasi buku akademik untuk kegunaan murid dan pelajar menengah. Untuk kelompok mahasiswa, naskhah akademik pengajian tinggi termasuk penerbit luar negara juga ada ditempatkan di perpustakaan itu.

Bahan rujukan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Pentaksiran Sekolah Rendah Agama (PSRA) juga tidak terkecuali.

Sebagai sebuah negeri medan pertemuan atau melting pot yang menyaksikan percampuran aneka budaya dan latar belakang, agihan buku juga rencam. Kira-kira 50 peratus bahan bacaan dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris (35 peratus) dan lain-lain bahasa (15 peratus).

Namun, bukan semua buku sewenang-wenangnya boleh ditempatkan di perpustakaan itu sebaliknya setiap naskhah perlu melalui proses penilaian teliti bagi memastikan hanya kandungan bermanfaat dibawa masuk.

Pemilihan bahan dari penerbit tempatan mahupun antarabangsa dinilai mengikut kesesuaian usia pengguna, ketepatan fakta, kualiti cetakan, kewibawaan penulis dan reputasi rumah penerbitan.

Selain itu, perkhidmatan perpustakaan desa dan perkhidmatan bergerak pula memudahkan penduduk setempat memperoleh bahan bacaan tanpa mereka perlu meredah perjalanan jauh ke bandar utama.

Perkhidmatan bergerak membantu usaha menjangkau keperluan penduduk luar bandar. Sebanyak lapan unit Smart Selangor Mobile Library (SSML) dan sebuah bas bergerak membawa aneka bahan bacaan kepada mereka.

Ini sekali gus memecahkan benteng halangan geografi.

Dalam mengharungi gelombang digital pula, PPAS ada menyediakan dua pelantar digital iaitu OverDrive dan eSentral. Justeru, gabungan bahan bacaan fizikal dan kemudahan digital itu sedikit sebanyak merapatkan jurang pendidikan antara penduduk desa dan penghuni kota.

Tidak hanya bersandar kepada bangunan fizikal dan lambakan buku sahaja, PPAS juga menjalin hubungan erat dengan pelbagai pihak antaranya pejabat pendidikan daerah, sekolah dan institusi pengajian tinggi tempatan. Ini bertujuan membina rangkaian untuk memudahkan usaha mencapai pembaca sasaran.

Hasil kerjasama tersebut, pelbagai program interaktif dijalankan sepanjang tahun antaranya Akademi Nilam, Pinjaman Berkumpulan, Hari STEM Peringkat Daerah, Hari Terbuka Sekolah dan Hari Usahawan Sekolah.

Program yang memupuk minat membaca turut dijalankan secara berkala antaranya Jom Baca Bersama 10 Minit, Hari Terbuka Perpustakaan, sambutan Hari Kemerdekaan peringkat daerah dan World Quran Hour.

Penganjuran acara sedemikian memupuk tabiat membaca menjadi lebih tekal dan menyeronokkan. Melalui pendekatan berasaskan masyarakat itu, PPAS berupaya mendekati kelompok pelajar, bahkan seolah-olah melangkah masuk ke dalam kehidupan mereka.

Kerjasama rentas bidang itu juga bertujuan memastikan perpustakaan bukan lagi premis pasif, sebaliknya seakan-akan bernyawa dan berfungsi sebagai komponen utama dalam ekosistem pendidikan moden.

Bukan sekadar membaca

Meski capaian berbeza-beza mengikut geografi, rangkaian perpustakaan itu mengukuhkan proses penyampaian ilmu dalam pelbagai bentuk. Lebih-lebih lagi, penyediaan bahan bacaan meliputi buku fizikal mahupun digital.

Dengan kepadatan penduduk di negeri ini dianggar mencecah sekitar 7.4 juta orang, penyediaan kemudahan dan ruang membaca bukan lagi pilihan, sebaliknya keutamaan strategik. Justeru, PPAS bertanggungjawab dalam memainkan peranan penting tersebut.

Sesuai perubahan zaman dan corak generasi muda mengakses maklumat, PPAS giat memperluas skop kegiatan harian bagi menggamit minat kanak-kanak dan belia untuk mendampingi perpustakaan.

Pelbagai kelab dan bengkel interaktif merangkumi seni dan kraf, jahitan, program berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM), permainan dalaman hingga projek pertanian bandar diadakan.

Pendedahan terhadap kemahiran praktikal dan teknologi digital turut diberi tumpuan melalui kursus jangka pendek antaranya internet segalanya (IoT), asas pengekodan dan seni reka grafik berasaskan Canva juga dijalankan.

Satu lagi inisiatif penting ialah Perpustakaan Mesra Transit. Melalui konsep tersebut, PPAS menyediakan persekitaran selamat, bersih dan selasa bagi kanak-kanak selepas waktu sekolah.

Mereka menerima bimbingan untuk menyiapkan kerja sekolah selain mengadakan program literasi merangkumi kemahiran membaca, mengira dan mengaji. Makanan untuk alas perut juga disediakan.

Secara tidak langsung, kepelbagaian fungsi itu menukar fungsi perpustakaan, baik apa peringkat sekalipun, sebagai pusat pembangunan insan yang menyeluruh.

Ia juga sekali gus menjadi medan untuk masyarakat menimba pengetahuan baharu, mengasah kemahiran praktikal, serta mengeratkan silaturahim sesama warga setempat.

Bagi kelompok anak desa, peluang menyertai program kemahiran dan acara interaktif menjadi pelengkap pendidikan formal di sekolah lantaran semua kemudahan tersedia percuma berhampiran rumah.

Matlamat meluaskan jangkauan perkhidmatan perpustakaan bukan sekadar membawa naskhah buku ke lokasi jauh. Lebih utama memastikan ilmu dapat dicapai dan dihayati setiap insan tanpa mengira latar belakang.

Grafik Farah Azila Mustapha

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.