Serangga kecil, ancaman besar jika gagal dikawal

22 Nov 2026, 8:00 AM
Serangga kecil, ancaman besar jika gagal dikawal

Lalat dianggap gangguan kecil dalam kehidupan seharian, namun serangga itu sebenarnya boleh membawa risiko besar pada kesihatan jika populasinya tidak dikawal.

Kehadirannya yang banyak di kawasan perumahan, premis makanan dan kawasan ternakan bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah menjadi penunjuk kepada masalah kebersihan persekitaran.

Gagal menguruskan sisa ternakan antara punca isu lalat menghantui masyarakat setempat terutama lokasi yang ada ladang ternakan ayam.

Kuala Langat umpamanya daerah terbesar menghasilkan ayam mentah di negeri ini. Ada 98 ladang penternakan beroperasi di daerah itu sama ada berskala kecil, sederhana dan komersial.

Namun, operasi ladang tersebut banyak menimbulkan rungutan orang ramai ekoran berlaku pencemaran bau dan lalat di sekitar Kuala Langat, malah Kuala Selangor hingga menjejaskan kualiti kehidupan penduduk setempat.

Masalah lalat yang berlarutan di beberapa kawasan kampung sejak sekian lama bukan sahaja menjejaskan keselesaan penduduk, malah mengganggu operasi perniagaan dan sektor pelancongan.

Lebih-lebih lagi, banyak kawasan antaranya Morib, Batu Laut dan Tanjong Sepat terkenal sebagai destinasi pelancongan. Justeru, masalah kebersihan itu dikhuatiri menjejaskan imej daerah berkenaan.

Serangga kecil, ancaman besar!

Apatah lagi, hanya 30 peratus ladang di daerah itu beralih kepada sistem reban tertutup moden manakala 70 peratus lagi masih menggunakan sistem lama yang berisiko pencemaran.

Sebahagian besar penternak dikenal pasti sebagai antara punca utama peningkatan lalat akibat pengurusan najis ayam yang kurang berkesan.

Justeru, penternak disyaratkan supaya beralih kepada sistem moden yang tertutup bagi mengawal kebersihan dan mengurangkan masalah lalat.

"Industri ini (ayam) memberi peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada penduduk. Namun apabila jumlah ternakan terlalu besar, aspek pengurusan sisa dan kebersihan perlu diberi perhatian serius," kata Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah.

Bagi menangani isu tersebut, Kerajaan Selangor mengadakan program pemutihan supaya semua ladang penternakan ayam dikumpul dalam satu kawasan dan menjalankan sistem pengurusan reban tertutup.

Menurut EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim, semua pengusaha ladang ayam yang ada ternakan lebih 500 ekor diwajib beroperasi dalam zon khas yang menggunakan amalan penternakan tertutup.

Pelaksanaan zon berkenaan dijalankan di setiap daerah melalui pemantauan ketat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan agensi berkaitan bagi membendung masalah bau dan lalat.

Semua pengusaha ayam di negeri ini yang masih beroperasi di luar zon berkenaan perlu segera berpindah ke lokasi khas yang mengamal sistem berkenaan.

Bagaimanapun, kira-kira setahun ketetapan itu dibuat, banyak sistem tertutup dilaksanakan terutama dalam kalangan penternak baharu tetapi masih ada kalangan penternak mengamalkan sistem penternakan lama.

Selain peruntukan undang-undang terhadap golongan penternak, orang ramai juga boleh membantu mencegah gangguan serangga kecil itu sebelum ia merebak dan menjadi dilema dalam kalangan masyarakat.

Berikut panduan Pegawai Perubatan Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat Dr Ku Adniza Ku Adnan yang disusun semula wartawan Nadiah Zamlus.

Grafik Azwa Abdul Malik
Grafik Azwa Abdul Malik
Grafik Azwa Abdul Malik

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.