KLANG, 17 OKT: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM40 juta bagi menangani masalah banjir kilat di sekitar Bukit Raja termasuk i-City, dengan projek menaik taraf sistem tebatan banjir di kawasan itu kini dalam proses reka bentuk.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata pelaksanaan projek berkenaan memerlukan sedikit masa meskipun peruntukan dan kawasan terlibat telah dikenal pasti.
“Akan ada projek di kawasan itu dan telah dikenal pasti. RM40 juta telah diluluskan Kerajaan Persekutuan… kini dalam proses reka bentuk. Semua kita ada, cuma pelaksanaannya memerlukan sedikit masa,” katanya ketika program Townhall Belanjawan Negeri Kita Anak Muda, di sini hari ini.
Sebelum ini, banjir kilat sering melanda Bukit Raja termasuk i-City, selain Seksyen 7, Seksyen 13 dan kawasan belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM) susulan hujan lebat berterusan.
Di Petaling Jaya, antara kawasan yang turut terjejas ialah Seksyen 51, Jalan 223, sekitar PJS 2, PJS 4 dan PJS 6, Taman Medan, Sri Manja serta Buana Perdana.

Sementara itu, Izham berkata peruntukan tambahan bagi menangani masalah banjir di Selangor akan diumumkan Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan Selangor pada November depan.
Beliau berkata peruntukan berkenaan turut melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk bagi kerja tebatan banjir dan penyelenggaraan jalan.
“Kita memang tambah… Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya untuk jalan dan tebatan banjir memang kita dapat peruntukan tambahan nanti yang akan diumum Dato’ Menteri Besar,” katanya.
Mengulas projek berimpak tinggi yang sedang diberi perhatian, Izham berkata cadangan menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari turut diteliti, termasuk pelebaran jalan daripada dua kepada tiga lorong serta penambahbaikan persimpangan.
“Cadangan saya masukkan naikkan dua lorong ke tiga lorong dan melibatkan juga persimpangan itu yang kos agak tinggi yang kita sedang muktamadkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan di bawah 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dikenal pasti bagi pelaksanaan langkah tebatan banjir jangka pendek dan sederhana, manakala langkah jangka panjang juga telah diluluskan.
Baru-baru ini, dua individu dilaporkan kritikal manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan 11 kereta di lampu isyarat Alam Budiman, Jalan Mokhtar Dahari, Seksyen U10.







