SHAH ALAM, 21 JULAI: Tindakan pantas seorang pekerja syarikat keselamatan berjaya menggagalkan cubaan merompak wang tunai kira-kira RM82,000 ketika proses pemindahan wang dari sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang, petang semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, petugas keselamatan berkenaan menyedari dia dihampiri seorang lelaki yang dipercayai bersenjatakan pistol jenis revolver, sebelum bertindak pantas mencampakkan beg berisi wang tersebut ke dalam van keselamatan dan segera menutup pintu.
Beliau berkata suspek yang memakai topi keledar dan berpakaian serba hitam seterusnya bertindak merampas sepucuk senjata jenis pump gun daripada pekerja syarikat keselamatan berkenaan sebelum beredar daripada lokasi.
“Dalam kejadian tersebut suspek bertindak seorang diri dan telah lari dengan menaiki motosikal, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Polis juga sedang mengumpul rakaman CCTV daripada bank dan kedai berdekatan mahupun daripada dashcam.
“Alhamdulillah polis berjaya mendapat beberapa rakaman yang boleh membantu siasatan. Kami mengalu-alukan bantuan masyarakat sekiranya terlihat ataupun berjaya merakam kejadian tersebut,” katanya pada sidang media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di sini hari ini.
Shazeli berkata siasatan juga menjurus kepada kemungkinan penglibatan orang dalam, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Semalam tular di media sosial video memaparkan seorang petugas syarikat keselamatan di luar cawangan sebuah bank di Klang kelihatan sedang mengangkat kedua tangan dipercayai diacukan senjata oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar dan berpakaian serba hitam dikaitkan dengan kejadian rompakan.







