SHAH ALAM, 7 OKT: Orang ramai perlu memainkan peranan aktif dalam menjaga keselamatan awam kerana pencegahan jenayah merupakan tanggungjawab bersama, kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan.
Beliau berkata penglibatan masyarakat penting bagi mengenal pasti dan menangani isu keselamatan pada peringkat awal.
“Keselamatan komuniti bukan hanya tanggungjawab polis, sebaliknya usaha bersama yang memerlukan penglibatan aktif masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook Polis Selangor.
Beliau berkata demikian ketika Taklimat Kepolisan Komuniti anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jalan Belatuk, Puchong.
Zaini berkata keberkesanan tugas kepolisan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah tangkapan atau kadar penyelesaian kes, sebaliknya turut mengambil kira tahap keyakinan masyarakat dan rasa selamat dalam komuniti.
Menurutnya, perselisihan kejiranan dan konflik sosial boleh berkembang menjadi isu jenayah sekiranya tidak ditangani lebih awal.
“Kesedaran komuniti dalam mengenal pasti, menyalurkan maklumat dan menangani isu pada peringkat awal amat penting bagi mengelakkan sesuatu masalah menjadi lebih serius,” katanya.
Beliau turut menggesa hubungan antara pemimpin komuniti dan anggota polis diperkukuh bagi memudahkan perkongsian maklumat serta membolehkan isu keselamatan setempat ditangani lebih awal.
Zaini juga menekankan keperluan pemantauan dan tindakan lebih tertumpu terhadap pesalah berulang bagi mengelakkan komuniti terus berdepan ancaman sama.
“Kerjasama yang kukuh dan berterusan bukan sahaja dapat membantu mencegah jenayah, malah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis sebagai rakan dalam menjaga keselamatan komuniti,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata usaha membendung ancaman penipuan dalam talian memerlukan kerjasama semua pihak termasuk mangsa, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan polis.
Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid serta Ketua Polis Daerah Serdang, Muhamad Farid Ahmad.






