SHAH ALAM, 17 JUN: Polis Selangor merekodkan sebanyak 300 tangkapan melibatkan warganegara Myanmar atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Januari 2025 hingga Mei 2026.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, jumlah itu merangkumi 227 tangkapan sepanjang Januari hingga Disember 2025 dan 73 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
"Jumlah tangkapan yang direkodkan ini bukanlah membabitkan etnik Rohingya sahaja, sebaliknya turut merangkumi tindakan penguatkuasaan ke atas warganegara Myanmar yang lain juga," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, kesemua tangkapan yang dilakukan melibatkan pelbagai kategori kesalahan termasuk kesalahan jenayah indeks.
Sementara itu, Shazeli menegaskan pihaknya komited memastikan masyarakat menerima maklumat yang jelas dan sahih berhubung isu berkenaan.
"Polis Kontinjen Selangor komited untuk memastikan perkongsian maklumat yang jelas serta sahih kepada masyarakat dan menghargai segala penyaluran maklumat serta kerjasama oleh masyarakat khususnya di negeri Selangor," katanya.







