SHAH ALAM, 23 OKT: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM16.2 juta di sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah, dalam operasi membanteras kegiatan sindiket narkotik di Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kegiatan itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki yang bekerja sambilan di rumah ibadat berkenaan.
Beliau berkata, lokasi itu antara empat tempat yang diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor menerusi lima serbuan berasingan membabitkan empat sindiket berbeza dari 13 hingga 19 Oktober lalu.
Menurutnya, lapan individu terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan, termasuk empat warga asing.
“Setakat ini, kita percaya kes membabitkan sindiket dadah. Bagaimanapun, kami sedang mengesahkan sama ada aktiviti gangsterisme ataupun kongsi gelap turut terbabit dalam kes ini,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan operasi JSJN Selangor di sini, hari ini.
Shazeli berkata, tiga lelaki dan seorang wanita warga asing dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dadah tempatan serta antarabangsa.
Katanya, mereka dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, dengan semakan lanjut sedang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia.
“Ada kalangan suspek warga asing ini baru masuk sehari sebelum ditangkap, ada yang beberapa hari sebelum ditangkap. Mereka dipercayai transit di KLIA sebelum keluar ke destinasi seterusnya, namun kami dapat mengesan dadah dalam bagasi mereka,” katanya.
Beliau berkata, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk edaran dalam dan luar negara.
Antara dadah yang dirampas ialah 81.3 kilogram (kg) bunga ganja dalam 129 bungkusan plastik, 37kg ganja dalam 327 paket, 3,510 unit katrij cecair ketamin, 40kg ketamin, 84 botol cecair ekstasi, 20.6kg heroin dan 25.4kg ketamin.
Polis turut menyita harta bernilai RM54,835 milik empat suspek tempatan, termasuk kereta Honda Accord dan Proton Saga.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan pengedaran dadah.
Shazeli berkata, semakan mendapati hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan tujuh kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.







