Penilaian UNESCO bagi Geopark Gombak-Hulu Langat bermula hujung Oktober

16 Okt 2026, 6:01 AM
Penilaian UNESCO bagi Geopark Gombak-Hulu Langat bermula hujung Oktober
Penilaian UNESCO bagi Geopark Gombak-Hulu Langat bermula hujung Oktober
Penilaian UNESCO bagi Geopark Gombak-Hulu Langat bermula hujung Oktober
Penilaian UNESCO bagi Geopark Gombak-Hulu Langat bermula hujung Oktober

SHAH ALAM, 16 OKT: Penilaian Geopark Gombak-Hulu Langat (GHL) bagi memperoleh pengiktirafan Geopark Global UNESCO dijadual berlangsung selama empat hari bermula hujung bulan ini.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata pasukan penilai dijangka tiba di Malaysia pada penghujung Oktober bagi menjalankan tinjauan dan penilaian di beberapa kawasan sekitar geopark berkenaan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri terus giat memperjuangkan pencalonan GHL sebagai Geopark Global UNESCO, selaras dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan Selangor.

"Usaha itu merupakan salah satu daripada tiga elemen pemacu utama dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri Selangor 2026–2030, selain disenaraikan sebagai projek strategik berimpak segera (Quick Win) bagi tahun ini," katanya kepada Media Selangor.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bagi menyokong pencalonan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026, selain mendapat kerjasama penuh kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling menyifatkan 2026 sebagai tahun penting bagi pembangunan Geopark Gombak-Hulu Langat.

Beliau berkata geopark yang menerima status Geopark Kebangsaan pada 2022 itu kini memasuki peringkat permohonan dan penilaian kelayakan bagi mendapatkan pengiktirafan Geopark Global UNESCO.

"Sebaik sahaja diluluskan untuk memasuki proses penilaian, Selangor akan secara rasmi memulakan usaha pencalonan sebagai Geopark Global UNESCO," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini. Foto Media Selangor

Tourism Selangor sudah memperjuangkan pencalonan itu sejak tiga tahun lalu bagi memperkukuh pembangunan pelancongan negeri.

Dalam perkembangan lain, Suee Lim berkata Kerajaan Negeri turut memberikan tumpuan kepada sektor pelancongan kesihatan yang menjadi antara tiga teras strategik utama dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri Selangor 2026–2030.

Menurutnya, sektor itu berpotensi menarik lebih ramai pelancong asing mendapatkan perkhidmatan rawatan, pemulihan dan perubatan estetik, sekali gus merancakkan industri pelancongan tempatan.

Sehubungan itu, beliau berkata Tourism Selangor akan menyertai pameran pelancongan di Jakarta, Indonesia pada November depan bagi mempromosikan sektor berkenaan.

“Pameran itu bagi mempromosikan industri pelancongan kesihatan negara kita serta memupuk kerjasama antara hospital tempatan, pengusaha hotel dan pengusaha pelancongan agar pelancong dapat merebut peluang melancong di Selangor semasa menerima rawatan di sini,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.