Geopark Gombak-Hulu Langat sedia hadapi penilaian UNESCO Oktober ini

16 Jun 2026, 11:00 AM
Geopark Gombak-Hulu Langat sedia hadapi penilaian UNESCO Oktober ini

GOMBAK, 16 JUN: Geopark Gombak-Hulu Langat bakal memasuki fasa penting dalam usaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO Global Geopark apabila dijadual menjalani proses penilaian pada Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata tahun ini merupakan tempoh kritikal bagi geopark berkenaan yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 2022 dan kini memasuki fasa permohonan serta penilaian untuk status UNESCO Global Geopark.

“Tahun ini adalah tahun yang sangat kritikal. Selepas empat tahun, ia akan melalui sesi penilaian pada Oktober,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah melawat Taman Hutan Selangor Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM-FPS) sempena program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor, ADN Bukit Lanjan Pua Pei Ling serta pegawai kanan FRIM.

Menurut Yee Ling, sekiranya proses penilaian berjalan lancar, Selangor akan memulakan permohonan rasmi bagi mendapatkan status UNESCO Global Geopark.

Air Terjun Sungai Gabai adalah salah satu geotapak bagi Geotaman Gombak-Hulu Langat yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Lalang dan mempunyai nilai warisan saintifik, rekreasi dan estetik. Foto Facebook Gombak-Hulu Langat Geopark

Dalam temu bual eksklusif bersama Media Selangor pada Disember tahun lalu, beliau mendedahkan usaha selama tiga tahun sedang digerakkan bagi mencalonkan Geopark Gombak-Hulu Langat sebagai UNESCO Global Geopark.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM2 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026 bagi menyokong usaha pencalonan tersebut, selain mendapat kerjasama penuh kerajaan Persekutuan.

Mengenai program GRS 2.0, Yee Ling berkata lokasi pelancongan dimasukkan dalam jadual lawatan Raja Muda Selangor di setiap daerah berikutan minat dan keprihatinan Baginda terhadap pembangunan sektor pelancongan negeri, khususnya ekopelancongan dan pelancongan pendidikan.

“Hari ini kami memilih FRIM-FPS sebagai salah satu lokasi bagi daerah Gombak.

“FRIM-FPS merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO pertama di Selangor dan ia juga terletak dalam kawasan Geopark Gombak-Hulu Langat yang sedang membuat persediaan ke arah permohonan status UNESCO Global Geopark,” katanya.

Tapak FRIM yang melalui proses penghutanan semula kaya dengan biodiversiti termasuk variasi spesies palma yang jarang ditemui. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Yee Ling berkata pakej lawatan berpandu yang ditawarkan FRIM-FPS semakin mendapat sambutan apabila pengunjung kini cenderung mencari pengalaman berasaskan alam semula jadi yang lebih bermakna.

Menurutnya, pakej berkenaan membolehkan pengunjung mengikuti penerangan pemandu alam semula jadi sepanjang kira-kira dua jam merentasi hutan tropika.

“Ini adalah pakej yang sangat menarik dan semakin popular kerana orang ramai kini gemar mengunjungi kawasan alam semula jadi.

“FRIM bukan sekadar tempat untuk bergambar bagi dimuat naik ke Instagram. Selepas mengikuti lawatan berpandu, pengunjung akan memperoleh ilmu dan pendedahan baharu mengenai hutan tropika,” katanya.

Yee Ling menambah, pendekatan itu selari dengan usaha Selangor mempromosikan pengalaman pelancongan yang menggabungkan elemen pemuliharaan, pendidikan dan penghargaan terhadap alam semula jadi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.